ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Limbang dikategorikan sebagai zon kuning sekali lagi setelah satu kes positif dikesan di daerah itu, yang mana merupakan satu daripada lapan kes positif Covid-19 baharu yang dicatatkan di Sarawak, semalam.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, setakat semalam Sarawak merekodkan sebanyak 496 kes sejak yang pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.
“Beberapa hari dahulu kita telah mengumumkan Limbang sebagai kawasan hijau kerana tiada kes positif dalam tempoh 14 hari, sekarang ia bertukar kembali kepada zon kuning kerana terdapat satu kes positif itu.
“Sementara itu, Sarawak hari ini merekodkan lapan kes positif Covid-19 baharu dengan empat kes di Daerah Kuching, tiga kes dari Daerah Samarahan dan satu kes dari Daerah Limbang, manakala daerah-daerah lain tiada kes dilaporkan,” katanya pada sidang media harian kemaskini perkembangan Covid-19 di sini, semalam.
Menurut Uggah, pesakit dari Limbang itu telah melawat ke Brunei, dan sekembalinya dari negara itu, beliau telah di kuarantin dan disaring pada hari ke-10 dan didapati positif wabak itu.
“Kes di Limbang ini adalah bukti betapa penting dasar kuarantin perlu dilaksanakan dan ia adalah operasi prosedur standard (SOP) Sarawak, yang mana rakyat kembali dari luar negara akan dikuarantin selama 14 hari.
“Bayangkan jika beliau tidak dikuarantin, dan bebas bergerak di sekitar Limbang, kontak rapat dan kontak kasual mungkin dijangkiti, jadi saya berharap orang ramai menghargai kenapa kita perlu melaksanakan kuarantin untuk sesetengah kategori bagi rakyat yang kembali ke Sarawak,” jelasnya.
Tambah Uggah, terdapat satu penambahan kes melibatkan Petugas Kesihatan Kuching yang telah disahkan positif Covid-19.
Manakala bagi kes pecahan kluster lapan yang positif itu, Uggah berkata Kluster Persidangan Kuching empat kes, dua kes dari kluster-kluster kecil, satu kes sporadik dan satu kes masih dalam siasatan.
Mengulas mengenai berita baik, Uggah berkata sebanyak 11 kes telah sembuh dan discaj dari hospital semalam dengan enam kes adalah dari Hospital Umum Sarawak, empat kes adalah dari Hospital Miri dan satu kes dari Hospital Sibu.