
LIMBANG: Tiga projek rangkaian jalan raya utama yang menghubungkan Limbang, Miri, Sabah dan Brunei kini sedang giat dilaksanakan, sekali gus dijangka mengubah landskap infrastruktur utara Sarawak menjelang 2030.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, berkata projek tersebut melibatkan pembinaan Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR), Lebuh Raya Pesisir Utara (NCH) dan Lebuh Raya Trans Borneo.
Menurut beliau, projek-projek itu merupakan antara agenda utama pembangunan negeri bagi memperkukuh jaringan perhubungan dan mempercepatkan kemajuan kawasan Limbang dan Lawas.
“Tiga jalan utama sedang dibangunkan. Pertama, Rangkaian Jalan Raya Sarawak-Sabah (SSLR), kedua, Lebuh Raya Pesisir Utara (NCH) yang akan dirasmikan Premier Sarawak pada 1 November ini, dan ketiga ialah Lebuh Raya Trans Borneo dari Tedungan ke bandar Limbang.

“Kesemua projek ini dijangka siap sepenuhnya antara tahun ini hingga 2030, dan apabila siap kelak, ia akan melengkapkan jaringan jalan raya moden di bahagian utara Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penangguhan Pesta Nuba Laya 2025 di Gelanggang Serbaguna Majlis Daerah Limbang (MDL), Batu Biah, semalam.
Tambah beliau, pelaksanaan projek berskala besar ini mungkin menimbulkan sedikit ketidakselesaan kepada penduduk setempat, namun kesulitan itu bersifat sementara dan perlu demi pembangunan jangka panjang.
“Saya mohon semua pihak bersabar dan memberi kerjasama kerana ini adalah projek transformasi yang akan membawa manfaat besar kepada rakyat, khususnya di Limbang dan Lawas,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pembinaan infrastruktur jalan raya ini akan menjadi pemangkin perubahan sosioekonomi kawasan utara Sarawak serta memastikan keterhubungan yang lebih baik antara wilayah dan negeri-negeri jiran.
Oleh Adeng Edrus