
KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Kuching menahan lima wanita warga asing yang disyaki terlibat dalam kegiatan pelacuran dalam satu serbuan di rumah pangsapuri di Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Ahmad Zaidi Adruce, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, Alexson Naga Chabu, berkata serbuan yang dijalankan adalah hasil risikan dan pemantauan terhadap aktiviti tidak bermoral di kawasan berkenaan.
“Dalam operasi tersebut, polis menahan lima wanita warga asing berusia antara 20 hingga 30 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran. Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 372A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta sebatan dan denda. Kes itu turut disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Menurutnya, siasatan turut dijalankan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas, permit atau pas sempadan, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, kes berkenaan juga disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali serta sebatan sehingga enam kali.
Alexson menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pelacuran kepada Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di talian 082-244444.
“Pihak PDRM akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Oleh Connie Chieng