

KEMALANGAN kendiri melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz di Lebuh Raya Pan Borneo dekat Kampung Selantik, pagi tadi. Foto PGO Bomba Sarawak
PANTU: Sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz yang membawa lima penumpang terbabas ke bahu jalan dalam satu kemalangan kendiri di Lebuh Raya Pan Borneo dekat Kampung Selantik, pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada 11.38 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman yang diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan l, Mohamad Fadhli Buyong digerakkan ke lokasi.
Pasukan tiba di lokasi pada 12.15 tengah hari dengan kekuatan tujuh anggota menggunakan sebuah jentera penyelamat kebakaran (FRT) dan sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
PGO berkata semua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba.
Daripada lima mangsa, dua daripadanya telah dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.
Tiga lagi mangsa masih menunggu tindakan daripada pihak Polis dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Operasi ditamatkan setelah keadaan terkawal dan mangsa berjaya diserahkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan susulan.
Oleh Adi Safarman