
MARUDI: Lima sekeluarga terselamat apabila kereta terjunam ke dalam parit pada pukul 2.30 petang tadi, di Jalan Marudi-Mairi, kira-kira 300 meter dari Jambatan Marudi.
Mangsa terdiri daripada tiga wanita dan dua kanak-kanak iaitu kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun serta kereta berkenaan dipandu wanita berumur 27 tahun.
Menurut wanita itu, yang enggan namanya didedahkan, mereka berasal dari Rumah (Rh) Stephen Kalong, Poyut A, dan dalam perjalanan ke Miri apabila stereng kereta tiba-tiba tidak berfungsi menyebabkan kenderaan terjunam ke parit yang berair. Beliau menambah, tayar sebelah kanan kereta juga rosak (botak), yang dipercayai punca stereng tidak dapat berpusing.

Dua wanita lain yang berada dalam kenderaan ialah ibu dan adik pemandu, manakala kanak-kanak lelaki adalah anak pemandu dan kanak-kanak perempuan pula anak saudaranya.
Semasa kejadian, pemandu itu segera menyuruh semua mangsa keluar dari pintu yang terbuka bagi menyelamatkan dua kanak-kanak tersebut, sebelum pemandu keluar sendiri melalui pintu hadapan.
Kesemua mangsa kemudian dibawa pulang oleh saudara-mara ke rumah panjang mereka, dan tiada kecederaan dilaporkan.
Oleh Jiku Juguong