Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Lima RUU jadi fokus sidang DUN Sarawak
  • TEMPATAN

Lima RUU jadi fokus sidang DUN Sarawak

Utusan Sarawak 5 hours ago
SIDANG MEDIA… Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti PBB di Ibu Pejabat PBB, hari ini. Foto Shahrul Qaizat 

PETRA JAYA: Lima Rang Undang-Undang (RUU) melibatkan perbelanjaan negeri, pengurusan sisa, pindaan perlembagaan dan keselamatan bangunan akan menjadi tumpuan utama Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 yang bersidang selama lapan hari mulai 24 November hingga 3 Disember ini.

Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata persidangan kali ini turut menerima sejumlah 341 soalan daripada Ahli Dewan, dengan 257 soalan untuk jawapan lisan, manakala 84 lagi untuk jawapan bertulis. 

Beliau berkata antara RUU terpenting yang akan dibentangkan ialah Rang Undang-Undang Perbekalan (2026), 2025 oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru.

RUU itu menjadi asas perbelanjaan negeri bagi tahun kewangan 2026 dan dijangka menjadi fokus utama perbahasan.

“Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pula akan membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2025 untuk memohon peruntukan tambahan bagi menampung keperluan kewangan negeri sepanjang tahun semasa,” katanya ketika bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti PBB di Ibu Pejabat PBB, di sini, hari ini.

Turut disenaraikan dua pindaan iaitu Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan), 2025 oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, serta Rang Undang-Undang Bangunan (Pindaan) 2025 oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, bertujuan memperkukuh peraturan dan keselamatan bangunan di Sarawak.

Selain itu, persidangan juga akan menyaksikan pembentangan Rang Undang-Undang Pengurusan Sumber dan Sisa Secara Lestari 2025, yang memperkenalkan kerangka baharu pengurusan sumber dan sisa secara mampan di negeri ini.

Tan Sri Mohamad Asfia berkata RUU tersebut selaras dengan pendekatan yang sering ditekankan Premier, iaitu memanfaatkan potensi ekonomi sisa melalui prinsip “jangan bazirkan sisa, jana pendapatan daripadanya,” berlandaskan amalan negara maju seperti Sweden.

Menurutnya, aspirasi menjadikan Sarawak sebuah negeri bersih, hijau dan berdaya saing tinggi menuntut struktur pentadbiran yang lebih mantap, termasuk kemungkinan penambahan anggota Kabinet pada masa akan datang bagi menyokong pembangunan pesat negeri.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan terdapat beberapa Ahli Dewan yang tidak dapat hadir pada sesi tertentu, termasuk Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing yang memaklumkan ketidakhadirannya dari Isnin hingga Jumaat, serta Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang kini kurang sihat. 

Setakat Jumaat lalu, tiada makluman lain diterima berhubung ketidakhadiran Ahli Dewan yang lain.

Tan Sri Mohamad Asfia menegaskan semua RUU yang dibentangkan membawa kepentingan besar kepada pembangunan negeri dan memainkan peranan penting dalam memastikan dasar serta perundangan Sarawak kekal relevan dan memenuhi keperluan rakyat.

Oleh Adele Rissa

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Warisan, kepelbagaian juadah hiasi Festival Makanan dan Kebudayaan Samarahan 2025
Next: Sarawak kaji pelaksanaan pendapatan asas, fokus perkukuh SOEs demi pertumbuhan ekonomi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.