Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Lima remaja didakwa guna perkataan mencela terhadap Zara Qairina
  • MAHKAMAH

Lima remaja didakwa guna perkataan mencela terhadap Zara Qairina

Utusan Sarawak 12 hours ago
KENDERAAN dipercayai membawa lima remaja yang berdepan pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina Mahathir, 13, bulan lepas, dilihat keluar dari pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu hari ini. Foto BERNAMA

KOTA KINABALU:  Lima remaja perempuan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap seorang pelajar tingkatan satu Zara Qairina Mahathir, bulan lepas.

Kes itu disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus, pada prosiding yang dijalankan secara tertutup.

Mereka didakwa dalam mencapai niat bersama, telah menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina, 13, yang mana perkataan tersebut didengari oleh mangsa yang mungkin menyebabkan pelajar itu terganggu dengan perkataan tersebut.

Kelima-lima pelajar didakwa melakukan perbuatan itu di blok Asrama Rabiatul Adawiyah Dorm A-3-6, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Limauan W.D.T 15, Papar, dekat sini antara jam 10.00 malam dan 11.00 malam, pada 15 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad ketika ditemui media di luar mahkamah selepas prosiding berkata kesemua pelajar tersebut mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

“Mahkamah menetapkan 25 September ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin untuk setiap remaja itu,” katanya yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim dan Deepa Nair Thevaharan.

Peguam Datuk Ram Singh mewakili tertuduh pertama manakala empat lagi diwakili peguam Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar, Farah Nazriah Chun Lee, Fareez Salleh dan ⁠Sylyester Kuan.

Sebelum ini Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah meneliti kertas siasatan kes kematian pelajar itu yang dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan memutuskan untuk mendakwa beberapa suspek berdasarkan keterangan yang ada.

AGC turut memaklumkan prosiding inkues masih perlu dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian Zara Qairina.

Pada 12 Ogos, AGC memutuskan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha itu, selepas meneliti laporan siasatan dikemukakan PDRM berhubung kes tersebut.

Mahkamah Koroner di sini pada Isnin menetapkan 3 September ini untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah itu pada pagi 16 Julai.– Bernama

Continue Reading

Previous: Pemandu lori didenda RM8,500 bawa muatan lebihi had LPKP
Next: Gara-gara puntung rokok, lelaki didenda RM2,000 di Kapit

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.