
LAWAS: Seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun yang mempunyai lima rekod kesalahan berkaitan dadah telah ditahan selepas ujian air kencingnya didapati positif dadah semasa pemeriksaan pada 3.00 petang semalam di sekitar bandar ini.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, suspek ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Lawas yang sedang menjalankan operasi penguatkuasaan.
“Hasil pemeriksaan awal tidak menemui sebarang barang salah. Suspek kemudian dibawa ke Pejabat BSJND IPD Lawas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
DSP Liong berkata ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Suspek mengaku telah terlibat dalam aktiviti penagihan dadah sejak tahun 2015. Semakan rekod juga menunjukkan suspek memiliki lima rekod kesalahan dadah mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” tambahnya lagi.
Oleh Adeng Edrus