
PALOH: Sambutan Aidilfitri tahun ini membawa makna lebih besar buat penduduk Kampung Paloh dan Kampung Kedang apabila kerajaan negeri mengumumkan lima projek pembangunan berimpak tinggi bernilai RM28.48 juta, sebagai tanda keprihatinan terhadap keperluan rakyat di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol berkata pengumuman ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan pembangunan seimbang dan menyeluruh, tidak kira di kawasan bandar mahupun luar bandar.
“Majlis Ramah Tamah seperti ini bukan sekadar medan silaturahim, tetapi juga peluang untuk saya mendengar suara rakyat serta berkongsi perkembangan projek pembangunan yang bakal mengubah landskap kampung,” katanya ketika berucap dalam majlis yang menghimpunkan lebih 200 penduduk di Dewan Masyarakat Kampung Paloh hari ini.
Di Kampung Paloh, tiga projek utama sedang berjalan di bawah Projek Rakyat dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2023/2024 dengan nilai RM22.98 juta, termasuk projek penambahbaikan sistem saliran dan pengairan bernilai RM16 juta, kawalan hakisan pantai bernilai RM6.4 juta dan naik taraf jalan kampung bernilai RM570,000.
Sementara itu, Kampung Kedang menerima dua projek baharu iaitu pembinaan jeti nelayan dan jalan konkrit bernilai RM5 juta serta pembinaan Dewan Kampung Kedang bernilai RM500,000 sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan menyeluruh bagi kawasan Semop.
“Jika semua berjalan lancar, projek ini akan memberi impak besar kepada taraf hidup penduduk kampung.
“Saya tidak mahu sebarang kelewatan yang boleh menjejaskan manfaat kepada rakyat,” tambah beliau lagi.
Turut hadir dalam majlis ialah ketua masyarakat dan kaum serta penduduk setempat yang menzahirkan rasa terharu dan berterima kasih atas komitmen berterusan kerajaan negeri dalam membawa kemajuan ke kawasan mereka. – UKAS