
SIBU: Sebanyak lima penagih dadah di bandar ini yang gagal mematuhi arahan hadir jamin Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu antara tempoh enam bulan hingga setahun akan menjalani rawatan dan pemulihan di Pusat Penagihan Narkotik (Puspen) Kuching selama dua tahun.
Ketua AADK Daerah Sibu Azimah Marsid berkata mereka terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 26 hingga 57 tahun yang ditangkap di beberapa lokasi berasingan sekitar bandar ini pada Selasa dalam Operasi Cegah.
Beliau berkata pihaknya telah memperoleh perintah mahkamah di bawah Seksyen 6(1)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk menghantar mereka ke institusi berkenaan.
“Tiga daripada penagih tersebut gagal hadir selama enam bulan manakala dua lagi tidak hadir sejak 2024. Empat daripadanya merupakan penagih baharu manakala seorang lagi penagih berulang,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata tiga penagih lain yang turut ditahan dalam operasi itu atas kesalahan sama akan menjalani rawatan dan pemulihan dalam komuniti selama dua tahun di bawah Seksyen 6(1)(b) akta sama.
“Kita sentiasa berusaha mengesan mereka melalui pelbagai platform termasuk media sosial dan media massa. Kita mahu mereka hadir ke pejabat AADK untuk diberi rawatan serta pemulihan demi masa depan diri dan keluarga masing-masing,” jelasnya.
Tambahnya, tindakan AADK menahan penagih yang gagal hadir jamin bukan bertujuan menghukum sebaliknya membantu mereka keluar daripada belenggu ketagihan dadah.
-Bernama