

PAPAN tanda Muzium Memorial Hospital Lau King Howe (kiri) dan Pusat Warisan Sibu (kanan).
SIBU: Sebanyak lima papan tanda Jejak Warisan Sibu telah dipasang semula di kawasan pusat bandar Sibu.
Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Mohammed Abdullah Izkandar Roseley berkata, papan tanda ini memainkan peranan penting dalam memelihara sejarah dan kisah silam bandar Sibu.


PAPAN tanda Masjid An-Nur (kiri) dan Masjid Lama Sibu (Masjid Al-Qadim).
“Papan tanda ini juga menjadi panduan kepada penduduk tempatan serta pelawat untuk menelusuri landskap budaya bandar ini,” jelasnya menerusi kenyataan di facebooknya, semalam.
Katanya, antara lokasi yang telah dipasang semula ialah Masjid Lama Sibu (Masjid Al-Qadim), Masjid An-Nur, Tugu Peringatan Pahlawan, Muzium Memorial Hospital Lau King Howe dan Pusat Warisan Sibu.
“Usaha ini bukan sahaja membantu memelihara warisan tempatan, malah menambah nilai pelancongan Sibu, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” ujarnya.

Katanya, MPS juga sedang mengenal pasti lebih banyak tapak warisan untuk dimasukkan dalam jejak warisan masa depan.
“Dan kini (MPS) dalam proses memohon dana tambahan tahun hadapan bagi memperluas inisiatif bermakna ini,” ujarnya lagi.
Oleh Akun Giman