
ISTANBUL: Lima maut di Itali susulan gelombang haba yang melanda negara itu, dengan pihak berkuasa memperluas amaran peringkat tertinggi ke 18 bandar pada Jumaat daripada 17 pada Khamis.
Kes kematian termasuk membabitkan dua petani di wilayah utara Lodi dan Piacenza, seorang gelandangan di Naples, dan seorang lelaki yang maut di tanah perkuburan di Garlasco dekat Pavia di wilayah Lombardy, lapor Anadolu Ajansi memetik berita ANSA.
Itali terus mengalami suhu sangat tinggi yang menjejaskan sebahagian besar negara itu.
Keputusan itu dibuat selepas jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan Menteri Kesihatan Orazio Schillaci bermesyuarat pada Khamis untuk membincangkan langkah tambahan bagi menangani panas melampau.
Genoa telah dimasukkan ke dalam senarai bandar di bawah amaran merah, menyertai Rom, Milan, Florence, Venice, Turin, Bologna, Bari, Ancona, Bolzano, Brescia, Frosinone, Latina, Perugia, Pescara, Rieti, Verona dan Viterbo.
Amaran merah menandakan keadaan cuaca yang cukup teruk untuk menimbulkan risiko kesihatan bukan sahaja kepada kumpulan rentan seperti orang tua, kanak-kanak dan orang yang mempunyai penyakit kronik, tetapi juga kepada individu sihat.
Gelombang haba juga menjejaskan tapak budaya dan perkhidmatan awam. Menurut Galeri Uffizi di Florence, penjualan tiket akan dihentikan sekurang-kurangnya hingga 28 Jun selepas kerosakan sistem pendingin hawa memaksa muzium itu menggantung kemasukan.
Dua tingkat Rumah Juliet, salah satu tarikan pelancong paling popular di Verona, akan ditutup kepada pelawat mulai Jumaat kerana panas dan kesesakan.
Perbicaraan mahkamah juga dihentikan sementara di bandar selatan Palermo kerana suhu tinggi.
Di Milan, pelancong dilihat membawa payung dan kipas mudah alih sambil mencari perlindungan daripada kepanasan berhampiran air pancut di sekitar mercu tanda bandar itu, Katedral Duomo.
Media tempatan turut melaporkan peningkatan 20 peratus kemasukan ke jabatan kecemasan di seluruh wilayah Lombardy ketika gelombang haba semakin meningkat.
Pakar meteorologi menjangkakan suhu akan memuncak pada hujung minggu. Itali adalah antara beberapa negara Eropah yang mengalami suhu tinggi pada permulaan musim panas ini. – Bernama-Anadolu