
BETONG: Lima individu mengalami kecederaan selepas terlibat dalam satu kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Serudit di sini, petang tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya telah menerima panggilan kecemasan tersebut sekitar 3.01 petang.
Seramai sembilan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan 2, Mohamad Hassim Borhan telah dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan tersebut.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan tiga buah kenderaan jenis Perodua Axia (tiga mangsa), Toyota Hilux (seorang mangsa) dan sebuah lori jenis Hino 3 tan (seorang pemandu).
“Dimaklumkan lori dan Toyota Hilux diparkir di bahu jalan semasa kejadian berlaku. Lori tersebut milik pekerja yang membuat pembaikan jalan manakala Toyota Hilux milik pekerja yang membuat penyelenggaraan mesin yang digunakan untuk membaiki jalan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.
PGO berkata tiga mangsa dari kenderaan Perodua Axia telah diberi rawatan awal oleh pasukan bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS) bomba dan seterusnya dibawa ke Hospital Betong, manakala seorang mangsa Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Terdapat seorang pekerja yang sedang melakukan kerja-kerja pembaikan jalan di bahu jalan turut mengalami kecederaan ringan akibat kemalangan tersebut.
“Dan mangsa telahpun dibawa oleh rakan sekerjanya ke Hospital Betong sebelum ketibanya PKO dilokasi.
“Operasi ditamatkan pada jam 3.42 petang,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman