
BAU: Lima lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 42 tahun ditahan dalam beberapa operasi membanteras dadah yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Bau bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman, berkata operasi dijalankan di sekitar Kampung Serasot, Kampung Serikin dan Kampung Sebobok.
Beliau berkata, seorang buruh berusia 27 tahun ditahan di Lorong Stiaan 2, Kampung Serasot 1 selepas polis menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi 0.47 gram bahan disyaki syabu bernilai kira-kira RM50.
“Suspek disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah,” katanya.
Mohd Haide berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap kelima-lima suspek kemudian dijalankan di pejabat BSJND Bau dan semuanya didapati positif dadah jenis amphetamine serta methamphetamine.
Kesemua mereka kemudiannya ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.Beliau berkata, semua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Bau.
Polis akan memohon perintah reman terhadap suspek yang ditahan kerana memiliki dadah, manakala dua lagi suspek yang mempunyai rekod kesalahan dadah terdahulu akan didakwa di Mahkamah Majistret Bau bagi kes terdahulu.



