
LUBOK ANTU: Seorang lelaki tempatan dan empat lelaki warganegara asing ditahan polis dalam Op Bersepadu Pencegahan Jenayah anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu yang dijalankan di sekitar kawasan Engkilili dan Lubok Antu, semalam.
Menurut kenyataan IPD Lubok Antu, suspek tempatan bersama lelaki warganegara asing ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Sementara itu, tiga lagi suspek warganegara asing ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1969/63 (Pindaan 2002).
Operasi bersepadu tersebut melibatkan seramai 29 pegawai dan anggota polis.
Sepanjang operasi, sebanyak 95 kenderaan dan 105 individu telah diperiksa, manakala 27 saman lalu lintas dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.


IPD Lubok Antu menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi dan rondaan bagi membanteras sebarang bentuk aktiviti pemerdagangan orang serta penyeludupan migran, khususnya di kawasan sempadan negara.
Orang ramai turut digesa agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah rentas sempadan kepada pihak polis bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Daerah Lubok Antu terus terpelihara.
Oleh Adi Safarman