BATU NIAH: Lima ladang kelapa sawit di kawasan Suai sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo telah bergabung menyertai Program Kesedaran Keselamatan Kebakaran yang berlangsung di Ladang Dulang, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, PBT II Lary Binjie ketika dihubungi hari ini, berkata program berkenaan dianjurkan oleh pihak BBP Batu Niah dengan objektif meningkatkan tahap kesedaran keselamatan kebakaran dalam kalangan pekerja ladang.
“Lima ladang yang terlibat ialah Ladang Dulang, Chartquest, Ruai, Pekaka dan Paroh.
“Antara pengisian program termasuk Ceramah Keselamatan Kebakaran, Demonstrasi Penggunaan Alat Pemadam Api serta Demonstrasi Kebakaran Dapur dan LPG,” katanya.
Program tersebut disertai seramai 85 peserta, dengan penglibatan tiga anggota bomba iaitu Lary Binjie (Ketua Balai), PBK I Jeffery Majin dan PBB Ronald Juban.
Orang ramai, justeru, dinasihatkan untuk menghubungi Talian Kecemasan 999 atau BBP Batu Niah di talian 085-737994 sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Oleh Adum Liu