Lima kawasan kekal catat IPU tidak sihat di Sarawak

Facebook
WhatsApp
PEMANDANGAN sekitar Bandar Raya Kuching, Sarawak yang diselubungi jerebu pada Sabtu. Foto: Bernama

KUCHING: Lima kawasan di Sarawak dilaporkan masih merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat akibat jerebu rentas sempadan setakat 8.00 pagi ini,berbanding enam kawasan petang semalam.

Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), kawasan yang mencatat bacaan IPU tidak sihat ialah Kuching (153), diikuti Samarahan (156), Serian (170), Bintulu (156) dan Samalaju (151).

Semalam, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dilaporkan berkata jerebu rentas sempadan dijangka menjejaskan 19 kawasan di Sarawak dalam tempoh beberapa hari akan datang, dengan corak angin semasa membawa asap daripada titik panas di wilayah jiran ke negeri ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata kawasan dikenal pasti ialah Betong, Bintulu, Daro, Julau, Kanowit, Kuching, Lundu, Marudi, Miri, Mukah, Pakan, Samarahan, Saratok, Serian, Sibu, Simunjan, Song, Sri Aman dan Tatau. – Bernama