Lima kawasan di Sarawak catat IPU tidak sihat -JAS

Facebook
WhatsApp
FOTO Laman facebook Jabatan Alam Sekitar

PUTRAJAYA: Kualiti udara dalam negara merosot dengan lima kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 8 pagi ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Azuri Azizah Saedon berkata lima kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat ialah IPD Serian (171), Kuching (154), Samarahan (154), Sri Aman (139) dan Bintulu (124).

“Tiga kawasan mencatatkan status kualiti udara baik manakala 60 kawasan berada pada tahap sederhana.

“Kualiti udara dalam negara pada hari ini didapati merosot dengan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, terutama di Sarawak yang disebabkan oleh pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azuri Azizah berkata peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) semalam menunjukkan keadaan cuaca kering berterusan di kebanyakan kawasan rantau ASEAN selatan hari ini, kecuali hujan terpencil di bahagian utara Sumatera dan Semenanjung, yang dikesan menerusi imej satelit Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan 20.

Beliau berkata laporan ASMC yang berpusat di Singapura menunjukkan terdapat 643 titik panas dikesan di Kalimantan, 17di Sumatera dan 25 di dalam negara, iaitu 22 di Sarawak, dua di Selangor dan satu di Terengganu.

“Titik panas dikesan secara meluas di Kalimantan Barat manakala titik panas terpencil hingga berselerak dikesan di kawasan lain di Kalimantan.

“Beberapa titik panas turut dikesan, terutama di beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak, bahagian selatan dan tengah Sumatera serta bahagian timur Pulau Jawa,” katanya.

Beliau berkata kepulan asap sederhana hingga tebal diperhatikan di Kalimantan Barat dan bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak.

Selain itu, kepulan asap sederhana hingga tebal turut diperhatikan di kawasan lain di Kalimantan dan bahagian tengah Sarawak manakala kepulan asap ringan hingga sederhana diperhatikan di bahagian selatan dan tengah Sumatera serta bahagian timur Pulau Jawa. 

Azuri Azizah berkata JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian di kawasan yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka, selain memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.

Beliau berkata Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara.

“JAS melalui Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan sentiasa memantau kualiti udara dari semasa ke semasa dan tindakan yang akan diambil adalah selaras dengan pelan tindakan itu yang melibatkan kesemua agensi berkaitan,” katanya.

Azuri Azizah berkata berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, Agensi Pengurusan Bencana Negara akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri atau pusat apabila bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam.

“Di bawah pelan tindakan itu, semua aktiviti di luar bilik darjah perlu dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100 manakala sekolah, tadika dan taska perlu ditutup serta-merta apabila bacaan melebihi 200.

“Operasi Pembenihan Awan pula akan dilaksanakan tertakluk kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca yang sesuai apabila bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam,” katanya.  

Beliau berkata orang ramai boleh mendapatkan bacaan IPU terkini setiap jam menerusi laman sesawang JAS di https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main atau aplikasi rasmi MyJAS EQMS di Google Play dan App Store.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membenarkan tanah dan premis mereka diceroboh sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau secara tidak sengaja.

“Mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, kesalahan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda minimum RM25,000 hingga maksimum RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya manakala kompaun sehingga 50 peratus daripada denda maksimum boleh dikenakan bagi setiap kesalahan.

“Orang ramai diminta bekerjasama memadam kebakaran kecil serta melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di talian 999 atau JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727,” katanya.- Bernama