

LUBOK ANTU: Tindakan pantas pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu berjaya mematahkan cubaan tinggal lebih masa warga asing serta aktiviti penyalahgunaan dadah dalam dua operasi berasingan, kelmarin.
Operasi tersebut menyaksikan penahanan seramai lima lelaki, termasuk seorang warga tempatan di sekitar kawasan Engkilili.
Menurut kenyataan media IPD Lubok Antu, tangkapan pertama melibatkan empat lelaki warga asing berusia antara 22 hingga 65 tahun.
Kesemua mereka ditahan oleh Pasukan Tugas Khas IPD Lubok Antu menerusi ‘Op Pintas’ dan ‘Op Lejang’ selepas dikesan berada di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan.
Kejayaan tangkapan itu bermula apabila pasukan polis mengekori sebuah kenderaan yang dinaiki kesemua suspek dalam keadaan mencurigakan.
Kenderaan tersebut dikesan bergerak dari jalan lama Lubok Tedung sebelum polis berjaya memintas dan menahan mereka di laluan masuk ke Pekan Engkilili.
Hasil pemeriksaan dokumentasi mendapati pas dan dokumen perjalanan kesemua suspek warga asing terbabit telah tamat tempoh antara tiga hingga lima tahun.
Sehubungan itu, kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi masa di Malaysia.
Sementara itu, dalam operasi berasingan iaitu ‘Op Tapis Khas’, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Lubok Antu turut berjaya melumpuhkan aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan Engkilili.
Seorang lelaki tempatan berusia awal 40-an telah ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan tidak bermoral tersebut.
Suspek tempatan itu kemudiannya dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mengesahkan suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine, sekali gus membawa kepada siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pihak polis menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan terus dipergiatkan bagi memastikan keselamatan sempadan dan membanteras gejala sosial di daerah ini.
Kerjasama erat antara masyarakat dan pihak berkuasa amat diperlukan bagi menyalurkan maklumat tepat berkaitan sebarang aktiviti jenayah.
IPD Lubok Antu menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti dadah untuk tampil membantu. Maklumat boleh disalurkan melalui Hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di talian 017-592 9211 untuk tindakan segera.
Oleh Adi Safarman