PETRA JAYA: Lima individu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuching hari ini daripada pertuduhan mengedar 42.2 kilogram (kg) syabu bernilai kira-kira RM1.4 juta pada Oktober 2023.
Hakim Datuk Leonard Sim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh pada akhir kes pendakwaan.
Mahkamah turut memutuskan keterangan yang dikemukakan tidak mencukupi untuk menghendaki kelima-lima tertuduh dipanggil membela diri.
Mereka ialah Shirley Toh Mee Yee, Matthew Chin Yun Onn, Dellon Jong Wei Hong, Alan Lim Ing Tack dan Queenie Chang Lee Pin.
Kelima-lima mereka sebelum ini didakwa mengedar 42.2kg methamphetamine di sebuah hotel berhampiran Jalan Nanas, di sini, kira-kira 12.30 tengah hari pada 12 Oktober 2023.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu secara bersama dengan niat yang sama, mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil seramai 15 saksi untuk memberikan keterangan.
Kelima-lima tertuduh sebelum ini dilaporkan ditahan ketika berusia antara 17 hingga 22 tahun.
Dadah jenis syabu yang dirampas dalam kes berkenaan dianggarkan mempunyai nilai pasaran sekitar RM1.4 juta.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fillany Siji, hadir bagi pihak pendakwaan.
Shirley, Dellon dan Queenie masing-masing diwakili peguam Alex Kong, Tiong Ing Neng dan Patrick Voon, bersama peguam pelatih Amarprit Singh.
Matthew pula diwakili Steven Beti dan Gerald Empaling, manakala Alan diwakili Lim Lian Kee.
Oleh Adi Safarman





