Lima ditahan susulan pergaduhan tular di media sosial

Facebook
WhatsApp
GADUH… Lima individu ditahan polis susulan insiden pergaduhan yang tular di media sosial. Foto IPD Meradong

BINTANGOR: Polis menahan lima individu, termasuk dua wanita, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden pergaduhan yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Tansli Mering berkata, kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita yang ditahan semalam oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Meradong bersama anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang sedang bertugas.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kelima-lima individu terbabit saling mengenali dan merupakan rakan.

“Sebelum kejadian, mereka dipercayai berkumpul dan mengambil minuman beralkohol di sebuah bilik sewa di kawasan belakang sebuah kedai minuman di Bintangor,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Tansli, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 5.00 petang, 10 Ogos lepas, apabila tercetus pertengkaran mulut antara dua daripada individu terbabit.

“Pertengkaran itu kemudian cuba dileraikan oleh seorang lagi individu.

“Bagaimanapun, ketika sebuah kenderaan Perodua Kancil hendak bergerak dari lokasi kejadian, berlaku salah faham yang menyebabkan kenderaan itu ditahan sebelum berlaku pergelutan dan perbuatan memukul seorang lelaki serta kenderaan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, individu yang berada di dalam kenderaan terbabit kemudian meninggalkan lokasi kerana bimbang keadaan menjadi lebih serius.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua individu terbabit dipercayai berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian.

“Setakat ini, tiada laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak yang terlibat berhubung kejadian itu.

“Kesemua lima individu ditahan di bawah Seksyen 23 Kanun Prosedur Jenayah bagi tujuan pencegahan dan ditempatkan di lokap Balai Polis Bintangor,” katanya.

Tansli berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan siasatan serta mengenal pasti fakta sebenar berhubung kejadian berkenaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berkaitan kejadian itu, sebaliknya menyerahkan perkara berkenaan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Oleh Earl Anek

Gerhana matahari penuh memukau di Eropah

BURGOS, Sepanyol: Jutaan penduduk Eropah dijangka menatap langit dengan penuh kagum apabila fenomena gerhana matahari penuh yang jarang berlaku merentasi

15 maut bot karam di Zimbabwe

MOSCOW: Sekurang-kurangnya 15 maut selepas sebuah bot yang membawa lebih 160 penumpang karam di Tasik Kariba, Zimbabwe pada Selasa, menurut