
MIRI: Sepanjang lima dekad lalu, Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) telah menyaksikan pelbagai perubahan besar dalam landskap media daripada era mesin taip dan bilik gelap hinggalah ke zaman digital hari ini.
Sepanjang perubahan itu, para wartawan kekal bersikap adaptif, sambil terus memelihara integriti kewartawanan serta komitmen terhadap khidmat kepada masyarakat.
Kepada semua rakan strategik termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta serta persatuan khususnya di bahagian Utara Sarawak, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan atas sokongan anda yang berterusan.
Presiden NSJA Chai Choon Chin berkata, industri media kini menghadapi pelbagai cabaran baharu.
“Revolusi digital telah memberikan cabaran hebat kepada media traditional, menyebabkan banyak penerbitan mengecilkan operasi atauberpindah sepenuhnya ke platform digital.
“Penularan maklumat palsu di media sosial turut menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap berita sahih.
“Ramai wartawan kini berdepan tekanan untuk terus bertahan di dalam industri ini, dan tekanan kewangan, pendapatan yang tidak mencukupi serta kekurangan sumber terutamanya mereka yang membuat liputan di kawasan pedalaman Sarawak,” jelasnya.
Chai berkata demikian pada majlis sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) pada malam tadi.
Tambahnya, di Sarawak, wartawan menjadi penghubung antara komuniti bandar dan luar bandar, mereka menyampaikan suara masyarakat di pedalaman, memelihara budaya tempatan dan memberi perhatian kepada isu-isu yang memerlukan tindakan.
“Di sini, saya dengan penuh hormat ingin memohon jasa baik kerajaan Sarawak untuk meneliti dan mempertimbangkan penambahbaikan terhadap kebajikan dan keperluan para wartawan di Sarawak, khususnya mereka yang bertugas di lapangan dan berdepan pelbagai cabaran demi menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
“Sokongan anda telah membolehkan kami terus bertahan dan berkhidmat kepada komuniti dengan integriti,” katanya lagi.
Oleh Adum Liu