
KUALA LUMPUR: Tema Hari Guru 2026, “Guru Bitara, Nadi Negara” sangat dekat dengan penjalanan hidup sebuah keluarga pendidik dari pedalaman Sarawak, apabila profesion perguruan bukan sekadar kerjaya, malah menjadi legasi yang diteruskan hampir seluruh adik-beradik mereka.
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sebako, Daro, Sarawak Mohamad Azwan Azahari berkata kedua-dua ibu bapanya yang masing-masing berkhidmat lebih 30 tahun sebagai guru, menjadi sumber inspirasi utama sehingga membentuk minat mereka dalam dunia pendidikan sejak kecil.
Anak sulung daripada lima beradik itu berkata bapanya berasal dari Kampung Sebako, manakala ibunya dari Kampung Bruit, yang kedua-duanya terletak di Pulau Bruit, Daro, Sarawak.
Kini, beliau sendiri sudah 10 tahun bergelar pendidik dan mengajar di kampung halamannya di SK Sebako, manakala dua lagi adiknya masing-masing bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Beladin dan Sekolah Kebangsaan Bandar Sungai Buaya, Selangor.
Selain itu, seorang lagi adiknya yang menamatkan pengajian dalam bidang ekonomi di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), turut berhasrat menyambung pengajian dalam diploma pendidikan, sementara adik bongsunya kini menuntut di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak, Samarahan.
“Masa kecil dahulu, mak dan ayah selalu bawa murid datang ke kuarters untuk kelas tambahan. Di dinding rumah dipasang papan hitam untuk mereka mengajar.
“Yang paling memberi kesan apabila ramai bekas anak murid mereka masih menyantuni mak dan ayah sehingga sekarang. Saya percaya segala kebaikan yang kami sekeluarga terima juga sebahagiannya hasil doa daripada mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama sempena sambutan Hari Guru.
Hari Guru disambut pada 16 Mei setiap tahun.
Beliau yang berusia 34 tahun itu berkata ibu bapanya juga tidak pernah berkira dengan anak murid, sehingga kuarters keluarga mereka sering menjadi tempat murid berkumpul terutama pada hujung minggu.
“Ibu saya pernah berpesan, ajar dan jagalah anak murid dengan penuh kasih sayang sebagaimana kita mahu anak kita dijaga dan diajar penuh kasih sayang oleh guru mereka. Ibu selalu berpesan, bekerjalah dengan ikhlas, barulah gaji yang diterima penuh berkat,” katanya.
Mohamad Azwan berkata antara pengorbanan guru yang sering terlepas pandang masyarakat ialah masa yang banyak diperuntukkan kepada anak murid berbanding keluarga sendiri.
“Bukan sahaja masa, malah wang ringgit, tenaga, perhatian dan kasih sayang turut dikorbankan demi memastikan anak murid mendapat pendidikan terbaik.
“Kami sebagai anak-anak guru dahulu hanya dapat meluangkan masa bersama ibu bapa ketika cuti sekolah,” katanya.
Beliau berkata pengalaman membesar sebagai anak guru menjadikan mereka adik-beradik belajar berdikari sejak kecil, malah pernah terbit rasa ralat apabila ibu bapanya dilihat lebih banyak meluangkan masa untuk anak orang lain.
“Namun apabila saya sendiri menjadi guru, baru saya faham. Kadangkala guru menjadi tempat anak murid menumpang kasih, bermanja, bergurau senda dan berbual. Mungkin suasana di rumah mereka tidak semesra di sekolah atau di dalam bilik darjah,” katanya.
Mengulas cabaran sebagai pendidik, Mohamad Azwan mengakui pernah berdepan keletihan emosi apabila sasaran pembelajaran murid tidak mencapai jangkaan ditetapkan.
Beliau berkata dia sering melakukan refleksi diri sehingga timbul perasaan bahawa dirinya belum cukup baik sebagai seorang guru.
“Mungkin juga saya terlalu menekan diri dengan mengadakan kelas tambahan pada hujung minggu dan waktu cuti sehingga tidak cukup rehat.
“Namun apabila melihat wajah anak murid yang dahagakan ilmu dan sentiasa ingin tahu, saya cuba bangkit semula dengan mempelajari kaedah pengajaran yang lebih sesuai mengikut tahap dan gaya pembelajaran mereka,” katanya.
Mohamad Azwan turut menzahirkan penghargaan kepada semua bekas guru, pensyarah dan individu yang pernah mendidiknya sehingga berjaya menjadi seorang pendidik hari ini.
“Karier menjadi guru ini mungkin tidak kaya dengan harta, tetapi kita kaya dengan doa yang dititipkan oleh anak-anak murid kita. Semoga kita sentiasa dikurniakan kudrat dan kesihatan untuk terus kuat mendidik anak bangsa,” katanya.- Bernama