
WASHINGTON: Selepas hampir lima bulan berada di Stesen Angkasa Antarabangsa, lima angkasawan antarabangsa memulakan perjalanan pulang ke Bumi dengan menaiki kapsul SpaceX semalam.
Angkasawan Amerika Syarikat Anne McClain dan Nichole Ayers, Takuya Onishi dari Jepun, serta angkasawan Rusia Kirill Peskov dijangka menghabiskan lebih 17 jam di dalam kapsul sebelum mendarat di perairan luar pantai California pada 1533 GMT, hari ini.
Kepulangan mereka menandakan berakhirnya misi penukaran kru ke-10 ke stesen angkasa di bawah Program Kru Komersial NASA, yang diwujudkan bagi menggantikan era Space Shuttle dengan kerjasama sektor swasta.
Kapsul Dragon milik syarikat SpaceX yang diasaskan oleh jutawan Elon Musk telah berlepas dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada jam 2215 GMT, semalam.
Penurunan semula kapsul ke Bumi yang amat laju akan diperlahankan apabila ia memasuki semula atmosfera Bumi dan seterusnya diperlahan lagi oleh payung terjun gergasi bagi memastikan pendaratan yang lebih lembut.
Selepas kapsul mendarat di laut, ia akan diambil oleh sebuah kapal milik SpaceX dan diangkat ke atas kapal tersebut.
Hanya selepas itu barulah para angkasawan dapat menghirup udara Bumi semula, buat kali pertama dalam beberapa bulan.
Para angkasawan ini, yang dikenali sebagai Crew-10, telah menjalankan pelbagai eksperimen saintifik sepanjang berada di stesen angkasa, termasuk mengkaji pertumbuhan tumbuhan dan bagaimana sel bertindak balas terhadap graviti.
Pelancaran mereka ke angkasa pada Mac lalu mendapat perhatian ramai kerana ia akhirnya membolehkan dua angkasawan AS yang tidak disangka-sangka terperangkap di stesen angkasa selama sembilan bulan pulang ke rumah.
Ketika dilancarkan pada Jun 2024, Butch Wilmore dan Suni Williams sepatutnya hanya berada di angkasa selama lapan hari bagi menjalani ujian penerbangan berawak pertama kapal angkasa Boeing Starliner.
Namun, kapal angkasa tersebut mengalami masalah pada sistem pendorongan dan didapati tidak selamat untuk penerbangan pulang, menyebabkan mereka terkandas di angkasa.
NASA mengumumkan minggu ini bahawa Wilmore telah mengambil keputusan untuk bersara selepas 25 tahun berkhidmat di agensi angkasa Amerika Syarikat itu.
Minggu lalu, angkasawan AS Zena Cardman dan Mike Fincke, Kimiya Yui dari Jepun serta angkasawan Rusia Oleg Platonov telah menaiki ISS bagi menjalani misi selama enam bulan. – AFP