ANDAI disebut nama Mizaru, Kikazaru dan Iwazaru, secara spontan pelarasan minda akan terarah kepada negara Matahari Terbit atau Jepun. Namun, tidak semua mengetahui siapakah empunya nama tersebut dan apakah tautannya dengan tajuk yang diperkatakan. Bagi mereka yang berpeluang untuk melancong atau melawat negara tersebut, di samping sempat melawat Kuil Tōshō-gū, di Nikko, pasti tidak akan terlepas melihat ukiran oleh Hidari Jingoro pada pintunya. Ukiran abad ke-17 ini yang berdasarkan maksim, “see no evil, hear no evil, speak no evil”.
Ukiran ini yang disebut sebagai TheThree Wise Monkeys atau ‘tiga ekor kera bijaksana’ menggabungkan konsep Confucius’s Code of Conduct. Kera-kera tersebut ialah Mizaru, yang tidak melihat kejahatan dengan menutup matanya, Kikazaru, yang tidak mendengar kejahatan dengan menutup telinganya, dan Iwazaru, yang tidak bercakap perkara jahat, dengan menutup mulutnya. Dalam teks tertentu terdapat kera keempat yang dinamakan sebagai Sezaru yang tidak melakukan kejahatan dan dilambangkan menutup bahagian sulitnya. Terdapat pendapat yang menyatakan bahawa falsafah ini dipercayai menerap ke Jepun dari China pada abad ke-18, iaitu ketika Era Nara.
Falsafah yang dikemukakan Confucius ini berteraskan kepada pegangan “do not do unto others what you would not want others to do unto you” atau ‘usah lakukan sesuatu terhadap orang lain perkara yang kamu tidak mahu terjadi pada diri kamu’. Dalam erti kata lain, sekiranya kita tidak menginginkan sesuatu perkara berlaku terhadap diri kita, usahlah kita lakukan perkara yang sama kepada orang lain. Malah, dalam buku Analects of Confucius pada abad kedua sehingga keempat SM, terdapat petikan seperti yang berikut; “Look not at what is contrary to propriety; listen not to what is contrary to propriety; speak not what is contrary to propriety; make no movement which is contrary to propriety“. Petikan kata-kata yang menggariskan amalan seperti yang digambarkan lewat lakaran The Three Wise Monkeys.
Apabila terbaca tulisan tentang ukiran ini ketika membelek-belek bahan bacaan tentang negara Jepun, ingatan penulis terimbau akan masa persekolahan ketika konsep amalan kebaikan diajarkan melalui pemaparan karikatur kera-kera berkenaan, suatu kaedah pengajaran yang penulis rasakan tidak lagi diterapkan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran masa kini. Mungkin kaedah yang sedemikian sudah dilihat tidak relevan dengan perkembangan minda serta minat pelajar masa kini. Apa-apapun, hal sedemikian tidak ingin penulis dibincangkan lebih panjang. Hal yang ingin diketengahkan lebih menjurus kepada konsep pandang, dengar dan bicara. Tiga perbuatan yang teramat rapat pertautannya dalam konteks perlakuan manusia.
Seperti wujudnya pertikaian tentang asal maksim berkenaan, turut berlaku perbezaan persepsi akan tafsiran yang tersirat sebaliknya. Dalam konteks tradisi penganut Buddha, inti pati maksim tersebut menyentuh tentang kepentingan untuk tidak memikirkan tentang elemen atau perkara jahat. Maksim serta imejan yang dipaparkan sering diguna untuk merujuk kepada semakin berkurangnya tanggungjawab moral dalam individu yang enggan menerima ketidakwajaran dengan melaraskan pandangan terhadap kaedah mempertahankan kejahilan diri. Di samping itu, dalam kalangan golongan kumpulan gangster atau mereka yang korup, hal sedemikian melambangkan etika senyap atau tidak membuka mulut.
Selaras dengan perkembangan masa, frasa berkenaan telah mengalami perubahan dari segi tafsiran asalnya. Di Barat, maksim ini membawa pengertian untuk tidak ambil peduli tentang apa-apa juga kejadian atau peristiwa, yang sama ada secara perundangannya, mahupun moralnya, salah. Dalam konteks ini, seseorang yang dikatakan see no evil, hear no evil, speak no evil, cenderung untuk berpura-pura tidak melihat apa-apa juga kesalahan atau kemungkaran yang berlaku di hadapan matanya, lantas ‘membebaskan’ dirinya daripada memikul tanggungjawab membetulkan sesuatu perbuatan yang salah. Budaya sedemikian bertitik tolak daripada persepsi untuk tidak ‘menjaga tepi kain orang lain’ atau melibatkan diri secara langsung. Hakikat sedemikian sering kita saksikan dalam paparan filem-filem Barat. Amalan serta persepsi yang menjejaskan semangat kesepakatan, kesepaduan dan saling membantu antara satu dengan yang lain. Budaya yang sememangnya semakin ketara terbentuk dalam masyarakat Barat.
Malah, dalam kalangan masyarakat di negara ini, hal sedemikian sudah mula ‘terkesan’, khususnya dalam persekitaran komuniti di kawasan perbandaran serta kota-kota metro. Kenyataan sedemikian berdasarkan pengalaman penulis selama sekitar 20 tahun ‘menetap’ di Tanah Semenanjung. Hidup dalam kawasan perumahan yang ‘dikawal’, akan tetapi kurang interaksi dalam kalangan penduduknya. Penduduk yang tidak menghiraukan sangat apa-apa yang berlaku di persekitarannya, waimapun jiran terdekat. Sikap tidak ambil peduli ini menterjemahkan semakin hakisnya semangat kejiranan. Lantaran, bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila rumah jiran ‘disamun’ oleh penyamar dari syarikat logistik yang kononnya diupah untuk mengangkut barang pemilik rumah yang dikatakan akan berpindah.
Benarkah sedemikian inti pati falsafah yang terselit sebalik maksim serta paparan imejan berkenaan? Suatu persoalan yang menarik untuk ditafsirkan dengan melihat secara rinci akan pertautan setiap frasa, iaitu see no evil dengan hear no evil serta speak no evil. Kata primer dalam maksim ini sudah tentunya evil atau kejahatan. Manakala, see (lihat), hear (dengar) dan speak (bicara), berupa komponen sekunder yang memberi unsur ‘kebermaknaan’ bagi kata evil. Di samping itu kata no (tidak) bertindak sebagai pelengkap yang membangkitkan ‘roh’ pernyataan berkenaan secara keseluruhannya.
Umum memahami bahawa kejahatan berupa unsur yang bersifat negatif yang menghasilkan tindak balas yang kurang menyenangkan, dan malah, tragis. Lantas, apa-apa juga kejahatan, cuba sama ada dihindari, mahpun dielakkan daripada berlaku. Namun, menjadi lumrah dalam kehidupan, kita melihat, mendengar mahupun berbicara tentang berlakunya kejahatan. Kejahatan yang tertampil dalam bentuk perompakan, pembunuhan, pemanipulasian, penipuan, penindasan, pemerkosaan, penyalahgunaan kuasa dan seumpamanya. Tidak mungkin tidak berlaku kejahatan dalam sehari. Malah, hal sedemikian terkesan semakin meningkat jumlahnya.
Apakah dengan tidak melihat atau mendengar kejahatan serta berbicara perkara jahat akan mengelak atau mengawal kejahatan daripada berlaku? Sudah pasti tidak. Lantas apakah sebenarnya inti pati maksim berkenaan sebenarnya? Untuk mencari suatu jawapan yang tuntas, memang sukar. Namun, untuk mengandaikan inti patinya, bukanlah sesuatu yang tidak dibolehkan. Bagi penulis, maksim berkenaan tidak harus dilihat atau ditafsirkan secara harafiah atau bergantung pada konteks pemaknaan permukaan. Akan tetapi, memerlukan penelahan unsur yang tersirat. Bagi penulis imejan dalam konteks see no evil lebih merujuk kepada ketidakinginan melihat kejahatan berlaku dan bukannya membutakan mata daripada melihat kejahatan yang berlaku di hadapan mata. Pun demikian juga halnya dengan frasa hear no evil dan speak no evil. Ketidakinginan mendengar mahupun berbicara tentang berleluasanya kejahatan. Hal sedemikianlah yang disiratkan oleh maksim sedemikian.
Tidak mungkin, dalam konteks imejan yang disebut sebagai wise atau bijaksana, sekadar membutakan mata, memekakkan telinga dan mengunci mulut apabila melihat sesuatu unsur kejahatan berlaku di hadapan mata. Gelaran ‘bijaksana’ berkenaan berupa suatu unsur terselindung yang jarang-jarang ditautkan dengan maksim berkenaan. Tidak juga dapat ditepis sekiranya terdapat pandangan yang menyatakan bahawa dalam situasi tertentu, lebih ‘bijak berdiam’ daripada ‘campur tangan’, akan tetapi pelarasan pandangan harus dilaraskan kepada unsur kejahatan yang wajar ditepis dan dihapuskan daripada kehidupan manusia. Malah, dalam apa-apa juga agama, melakukan kejahatan berupa perbuatan yang dilarang. Malah, dalam Islam, konsep amar makruf, nahi mungkar adalah salah satu teras terpenting, selain berperanan sebagai penyeimbang dalam kehidupan beragama.
Terpulang kepada setiap untuk mentafsir maksim berkenaan berlandaskan sisi pandang masing-masing. Apa-apapun, dalam kehidupan, menjadi tanggungjawab masyarakat untuk bersama-sama memastikan unsur kejahatan tidak berlaku.
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!