EKORAN masih dibayangi kebimbangan rentetan musibah penularan virus Covid-19 yang melanda negara dan dunia ketika ini.
Persatuan Bola Sepak Bahagian Sri Aman (FASA) bercadang untuk menunda kejohanan berprestij ‘Liga Sri Aman 2020’.
Setiausaha Kehormat FASA, Alfred Ak Kendim memberitahu, pihaknya masih belum berbincang sepenuhnya mengenai perkara itu.
Akan tetapi tegas Alfred, besar kemungkinan tiada penganjuran Liga Sri Aman untuk tahun ini dan dijangka ditunda ke tahun depan.
“Saya melihat situasi semasa masih tidak begitu mengizinkan dan besar kemungkinan tiada penganjuran untuk Liga Sri Aman tahun ini,” ujar Alfred ketika mengulas mengenai perkara itu.
Menurut Alfred, beliau percaya barisan exco badan induk berkenaan juga mungkin bersetuju untuk menunda kejohanan itu ke tahun depan.
Tegas Alfred, peminat sukan bola sepak khususnya pasukan yang berpengkalan di Sri Aman dan sering menyertai kejohanan itu sebelum ini juga pasti menyambut baik untuk penundaan kejohanan terbabit ke tahun depan.
“Keselamatan semua pihak harus diutamakan dan kita tidak mahu masalah sebaliknya akan timbul kelak,” tambah beliau lagi.