Liga Argentina beri penghormatan kepada Messi dengan tepukan selama seminit

Facebook
WhatsApp
PENYOKONG Argentina memberi tepukan sebagai tanda penghormatan kepada Lionel Messi susulan pengumuman persaraannya daripada skuad kebangsaan. Messi, yang memakai jersi nombor 10, bakal menerima penghormatan selama seminit pada minit ke-10 dalam setiap perlawanan bola sepak lelaki dan wanita di Argentina. Foto fail AFP

BERLIN: Perlawanan dalam semua pertandingan bola sepak lelaki dan wanita di Argentina akan dihentikan seketika pada minit ke-10 permainan bagi memberi penghormatan kepada legenda bola sepak negara itu Lionel Messi, yang mengumumkan persaraannya daripada skuad kebangsaan pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Presiden Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) Claudio Tapia berkata mereka mahu “memberi penghormatan kepada karier Lionel Messi bersama Argentina menerusi tepukan selama seminit” pada perlawanan seterusnya.

Perlawanan akan dihentikan seketika pada minit ke-10 permainan kerana Messi memakai jersi nombor 10 ketika beraksi bersama skuad kebangsaan.

Selain itu, video promosi akan ditayangkan di stadium yang dilengkapi skrin sebelum perlawanan bermula, menurut AFA dalam satu kenyataan pada Rabu malam.

Messi menikmati karier yang gemilang di peringkat kelab dan pada 2022, beliau melengkapkan pencapaiannya bersama skuad kebangsaan dengan menjulang Piala Dunia. Beliau cuba meraih gelaran juara dunia buat kali kedua tahun ini, namun Argentina tewas kepada Sepanyol pada perlawanan akhir. – Bernama-dpa