KUALA LUMPUR: Jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou (gambar) menghargai sumbangan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) sehingga membolehkan beliau berjaya mempertahankan pingat emas pada Sukan Paralimpik Paris 2024.
Beliau berkata kedua-dua badan induk itu memenuhi segala permintaan beliau dan atlet para lain untuk menggunakan fasiliti gelanggang futsal di MSN, Bukit Jalil di sini selama sebulan setengah sebelum berangkat ke Paris.
“Di situ saya dapat fokus latihan dan tinggal sementara di Casa 2 di MSN. Sekiranya ada sebarang isu, saya akan terus ke fisioterapi (di ISN) untuk pemulihan dan ia sangat membantu untuk persiapan,” katanya kepada pemberita.
Pada masa sama Liek Hou yang merangkul pingat emas dalam kategori SU5 (kecacatan fizikal) berharap ‘perang dingin’ antara MSN dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) susulan kegagalan membawa pulang empat emas dari Paris tidak berlarutan, bagi memastikan segala program dirancang terus berjalan lancar.
‘Kami tidak mahu mencipta banyak isu… sebagai atlet kami hanya nak fokus kepada pencapaian dan sasaran.
“Sekiranya kita dapat menghasilkan keputusan positif, kenapa tidak kekalkan program sedia ada atau duduk semeja berbincang mengenai program yang lebih baik,” katanya.
Terdahulu, situasi panas tercetus apabila Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mendakwa campur tangan MSN pada Sukan Paralimpik Paris 2024 menyebabkan kontinjen negara gagal meraih empat pingat emas yang disasarkan.
Beliau mendedahkan campur tangan MSN pada temasya sukan terbesar dunia itu menyebabkan pegawai-pegawai MPM tidak dapat melaksanakan tugas, sekali gus menjadi punca kegagalan kontinjen Malaysia.
Sementara itu Liek Hou optimis tempoh perkhidmatan ketua jurulatih Nova Armada masih panjang bersama MSN susulan kejayaannya membantu beliau memenangi pingat emas kedua peribadi di temasya Sukan Paralimpik.
Bagaimanapun beliau menyerahkan sepenuh keputusan kepada badan induk sukan negara sama ada mahu melanjutkan kontrak Nova sehingga ke Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun atau sebaliknya.
“Nak mempertahankan pingat emas pada usia 36 tahun bukan perkara senang, jadi memang ada beza dari segi latihan itu. Sekiranya tidak ada kualiti latihan dengan Nova, saya rasa tidak boleh mempertahankan emas itu,” katanya. – BERNAMA