
KUALA LUMPUR: Bukan satu tapi dua anugerah berjaya dirangkul jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou pada Majlis Gala Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Hangzhou, China malam tadi.
Pemenang dua kali pingat emas Sukan Paralimpik itu meraih gelaran Pemain Para Lelaki Terbaik Dunia 2025 menewaskan pencabarnya Daiki Kajiwara dari Jepun, Kumar Nitesh (India) dan Park Hae Seong (Korea Selatan).
Lebih manis, pemain nombor satu dunia berusia 37 tahun itu turut diiktiraf Beregu Para Terbaik Dunia 2025 bersama gandingannya Mohd Fareez Anuar.
“Ini kali pertama saya memenangi anugerah ini dan ia sangat bermakna. Saya nak ucapkan terima kasih kepada BWF atas pengiktirafan yang diberikan sebagai seorang daripada Pemain Terbaik 2025,” katanya yang dipetik menerusi laman web BWF.
Bagi kategori utama, Shi Yu Qi dari China turut meraih dua anugerah iaitu pemain perseorangan terbaik lelaki sekali gus melayakkan pemain berusia 29 tahun itu diiktiraf Pemain Lelaki Terbaik Dunia 2025.
Bintang Korea Selatan An Se Young turut dinobatkan pemain perseorangan wanita terbaik sekali gus diangkat Pemain Wanita Terbaik Dunia 2025.
Sementara itu bagi kategori beregu lelaki, gandingan Korea Selatan Kim Won-ho-Seo Seung-jae diiktiraf Beregu Lelaki Terbaik Dunia 2025 menewaskan dua pasangan negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Kategori beregu wanita menjadi milik beregu China Liu Sheng Shu-Tan Ning manakala Beregu Campuran Terbaik Dunia diraih pasangan Thailand Dechapol Puavranukroh-Supissara Paewsampran. – Bernama