
KUCHING: Pengurusan libat urus strategik memainkan peranan penting dalam menjamin kelancaran pelaksanaan projek dan pengurusan fasiliti, kata Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir. Aidel Lariwoo.
Beliau menegaskan bahawa setiap projek pembangunan perlu dilaksanakan secara efisien serta mencapai kecemerlangan dari segi kualiti dan kecekapan.
“Pembangunan yang dilaksanakan bukan hanya bersifat fizikal, malah perlu berorientasikan kelestarian alam sekitar,” katanya pada majlis Penutupan Program ‘Memperkasa Kolaborasi: Libat Urus Strategik Bersama Perunding 2025’ di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Dr. Cassidy Morris turut menyuarakan penghargaan terhadap maklum balas daripada komuniti perunding, sambil menekankan keperluan pendekatan baharu dalam menangani isu-isu pembangunan infrastruktur.
Beliau juga menggalakkan penerapan teknologi terkini serta menyediakan ruang dialog terbuka antara kerajaan dan pihak perunding sebagai langkah ke arah pembangunan negeri yang lebih progresif dan berdaya saing.
Program tersebut bertujuan memperkukuh kerjasama antara kerajaan dan komuniti perunding dalam merangka hala tuju strategik pembangunan infrastruktur negeri.
Oleh Norman B