
KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua dekad mengukir nama dalam dunia periklanan, Bobby Husaini kini membuka lembaran baharu dalam kerjayanya apabila tampil dengan filem sulung bergenre komedi berjudul Libang Libu , yang bakal menemui penonton pada 23 April ini.
Bagi Bobby, peralihan daripada dunia iklan ke layar perak bukanlah satu keputusan mengejut, sebaliknya langkah itu diambil untuk mencabar diri dan meneroka ruang kreatif yang lebih luas.
“Saya memulakan kerjaya dalam bidang iklan sebagai penulis iklan. Selepas lebih 20 tahun, ini adalah waktu yang tepat untuk saya memperluaskan kemampuan ke tahap berbeza. Bagi saya, ini satu peralihan yang diimpikan oleh ramai pengarah iklan dan sekarang adalah masa yang sesuai untuk saya,” katanya dalam kenyataan.
Walaupun begitu, menurut Bobby, dunia periklanan masih menjadi keutamaannya dan tidak berhasrat meninggalkan bidang yang telah mencipta namanya sejak sekian lama.
Beliau juga bersedia menerima apa juga pandangan penonton terhadap buat tangan pertamanya itu termasuk daripada segelintir pihak yang mungkin melihat sentuhan iklannya terlalu ketara dalam filem tersebut.
Bobby mengakui tanggapan itu bukan sesuatu yang mudah untuk disangkal, bagaimanapun anak kelahiran Ipoh, Perak ini tetap positif dan melihatnya sebagai satu cabaran yang perlu dibuktikan melalui karya.
“Memang ada yang bertanya sama ada gaya iklan saya akan membayangi filem ini. Jawapannya mudah, kena tonton dahulu dan nilaikan sendiri.
“Jujurnya, ini risiko yang akan dihadapi oleh semua pengarah iklan seperti saya. Tetapi satu perkara yang saya pegang, tidak kira iklan atau filem, saya akan menghasilkan karya berdasarkan apa yang saya rasai,” katanya.
Berkongsi lanjut mengenai Libang Libu, beliau tidak menafikan akan ada yang melihat gaya penceritaan filem tersebut seakan-akan menyamai sentuhan karya Allahyarham Mamat Khalid, dan beliau menganggap perkara itu satu penghormatan.
“Arwah adalah idola saya, namun itu bukan tiket untuk Libang Libu dibayangi karya-karya hebat beliau. Mungkin kerana saya menjalani penggambaran di Perak dan mengambil inspirasi daripada situasi masyarakat di sana, tetapi Libang Libu bukan sekadar filem komedi, sebaliknya gabungan pelbagai kisah masyarakat yang dekat dengan kita,” katanya.
Mengulas cabaran utama sepanjang penggambaran, beliau berkata penggunaan dialek Perak yang memerlukan keseimbangan antara keaslian dan kefahaman penonton adalah antara perkara yang sukar dihadapi pelakon.
“Cabaran paling besar bagi saya bukan kerana pelakon tidak mampu menjiwai watak, tetapi lebih kepada penyampaian dialek bahasa Perak itu sendiri.
“Namun, sejak awal lagi saya telah berpesan kepada para pelakon agar tidak terlalu tertekan mengenainya, kerana kita juga mahu penonton memahami bahasa yang digunakan dengan mudah,” katanya.
Libang Libu yang menjalani penggambaran di Perak dibintangi barisan pelakon handalan, seperti Ameerul Affendi, Beto Kusyari dan Nabila Huda. – Bernama