
SIBU: “Sampai bila kami perlu menunggu? Sampai bila kami harus terus menderita?.”
Itulah luahan pilu Liana Sari Santud (gambar), 22, yang masih bergelut dengan status kewarganegaraan tidak menentu, menyebabkan dia dan keluarganya sukar menjalani kehidupan seperti rakyat Malaysia lain.
Liana, anak tempatan dari Rumah Sika, Pasai Siong, Sibu, berkata ibunya telah mengemukakan permohonan kad pengenalan sejak 2023 menerusi program yang dikendalikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Sementara itu, beliau dan tiga adiknya memohon terus kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 2024, namun sehingga kini masih menanti keputusan.
“Saya sudah letih menunggu. Saya tidak tahu berapa lama lagi perlu menunggu kerana JPN Sibu memaklumkan bahawa urusan ini diatur oleh JPN di Kuala Lumpur,” katanya kepada Utusan Sarawak hari ini.
Liana merupakan anak ketiga daripada empat beradik.
Menurutnya, hanya abangnya memiliki status kewarganegaraan yang jelas dalam sijil kelahiran tetapi masih belum memperoleh kad pengenalan.
Manakala beliau, dua adiknya dan ibunya memegang sijil kelahiran berstatus ‘Belum Ditentukan’, sementara bapanya pula tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
Keadaan ini menyebabkan pelbagai kesukaran, termasuk baru-baru ini apabila Liana ditahan oleh pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam pemeriksaan rutin.
“Mereka minta lesen memandu dan kad pengenalan saya, tetapi saya tiada kedua-duanya.
“Saya hanya mampu menyerahkan kad pelajar dan sijil kelahiran sebagai bukti identiti,” katanya, mengakui perasaan bimbang setiap kali berdepan dengan penguat kuasa.
Lebih menyedihkan, tekanan emosi akibat status yang tidak menentu ini menghantui Liana sejak zaman sekolah menengah lagi.
Terdahulu, Liana pernah tular di media sosial dua tahun lalu apabila berkongsi kisah hidupnya, merayu agar kerajaan mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan untuk dirinya dan keluarganya.
Menyedari situasi sukar yang dihadapinya, Dato Sri Fatimah Abdullah menyarankan Liana untuk memohon kad pengenalan hijau berstatus ‘Penduduk Sementara.’
Kad itu sekurang-kurangnya membolehkannya menikmati beberapa kemudahan seperti biasiswa dan pengecualian yuran ketika melanjutkan pengajian di universiti.
Namun, bagi Liana, apa yang diimpikan hanyalah satu – pengiktirafan sebagai warganegara Malaysia agar dia dan keluarganya dapat menjalani kehidupan seperti orang lain tanpa dibayangi ketidakpastian.
Oleh Tarani Lanting