Liam Rosenior. Foto AFP
STRASBOURG (Perancis): Chelsea dilaporkan bersetuju secara lisan melantik Liam Rosenior sebagai ketua jurulatih baharu kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu.
Rosenior, 41, yang ketika ini membimbing kelab Ligue 1, Strasbourg, mengakui peluang tersebut adalah sesuatu yang “tidak boleh ditolak”, walaupun pengalaman kejurulatihannya masih terhad dan belum pernah mengendalikan pasukan Liga Perdana.
“Ia kelihatan saya akan menjadi pengurus baharu Chelsea. Segalanya sudah dipersetujui dan proses rasmi dijangka dimuktamadkan dalam beberapa jam lagi,” katanya dalam sidang media di Strasbourg.
Bekas pengurus Hull City itu muncul sebagai calon utama menggantikan Enzo Maresca, yang dipecat minggu lalu, lebih-lebih lagi kerana Chelsea dan Strasbourg dimiliki konsortium sama, BlueCo.
Chelsea bagaimanapun masih belum membuat pengumuman rasmi, namun perbincangan bersama Rosenior dilaporkan berlangsung di London pada Isnin lalu.
Rosenior berkata beliau memilih untuk mengumumkan perkara itu di Strasbourg sebagai tanda penghormatan kepada kelab berkenaan.
“Saya benar-benar teruja. Sepanjang hidup saya, saya bekerja keras untuk menjadi jurulatih. Peluang mengendalikan kelab bertaraf dunia ini adalah impian saya,” katanya.
Namun, beliau mengakui perasaan sedih kerana terpaksa meninggalkan Strasbourg, yang dibimbingnya ke kedudukan ketujuh Ligue 1 musim lalu selepas dilantik pada Julai 2024.
Rosenior bakal menjadi pengurus tetap keempat Chelsea sejak BlueCo mengambil alih kelab itu pada 2022, sekali gus berdepan tekanan besar daripada media dan penyokong di Stamford Bridge.
Sepanjang karier pemainnya, Rosenior pernah beraksi bersama Fulham, Reading, Hull City dan Brighton sebelum beralih ke dunia kejurulatihan.
Sementara itu, Strasbourg dilaporkan sudah mula mencari pengganti dengan beberapa nama disebut termasuk bekas pengurus Bournemouth dan Wolves, Gary O’Neil, Will Still serta Eric Ramsay.
Chelsea kini dikendalikan sementara oleh jurulatih bawah 21 tahun, Calum McFarlane, yang memimpin pasukan seri 1-1 menentang Manchester City, Ahad lalu.
Chelsea dijadual bertemu Fulham di Craven Cottage, Rabu ini — salah satu bekas kelab Rosenior. – AFP