KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menfailkan saman terhadap dua rakan sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low iaitu Casey Tang Keng Chee dan Jasmine Loo Ai Swan, kedua-duanya bekas pegawai kanan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), supaya mereka membayar tunggakan cukai pendapatan masing-masing berjumlah RM6.8 juta dan RM2.5 juta.
Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui LHDN secara berasingan terhadap Tang, 56, yang merupakan bekas pengarah eksekutif 1MDB, dan Loo, 43, bekas peguam 1MDB, selaku defendan di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Dis ember2020 dan 8 Januari lepas.
Mengikut senarai kes mahkamah, saman terhadap Tang ditetapkan untuk sebutan secara dalam talian (e-Review) di hadapan Timbalan Pendaftar Maslinda Selamat semalam, yang kemudiannya menetapkan 8 Mac untuk pengurusan kes itu, manakala Timbalan Pendaftar Farah Shuhada Ramli menetapkan 18 Februari untuk pengurusan kes Loo.
Menerusi pernyataan tuntutan yang dikemukakan terhadap Tang, Kerajaan Malaysia mendakwa bagi Tahun-Tahun Taksiran 2009 sehingga 2017, defendan telah ditaksirkan dengan Taksiran Tambahan masing-masing berjumlah RM260,560.26, RM473,004.48, RM1,600,810.12, RM257,694.20, RM1,074,455.28, RM1,428,296.28, RM701,285.00, RM310,502.16 dan RM57,866.40 melalui Notis-notis Taksiran (Tambahan) masing-masing bertarikh 30 September 2020.
Plaintif mendakwa Notis-notis Taksiran (Tambahan) itu telah dihantar secara Akaun Terima Berdaftar (A.R) kepada defendan pada 6 Oktober 2020 ke alamat terakhirnya di Taman Sri Endah, di sini yang diketahui oleh plaintif pada masa itu, dan notis berkenaan telah diterima dan ditandatangani melalui pengembalian semula kad kuning A.R.
Menurut plaintif, seterusnya lebihan kredit RM972.00 telah digunakan dan ditolak sebagai sebahagian bayaran cukai pendapatan bagi Tahun Taksiran 2009 (Tambahan) itu, meninggalkan baki yang masih terhutang dan perlu dibayar sebanyak RM259,588.26 bagi tahun taksiran berkenaan.
Plaintif mendakwa, oleh kerana defendan gagal membayar jumlah cukai pendapatan bagi Tahun-Tahun Taksiran 2009 sehingga 2017 dalam tempoh 30 hari dari tarikh penyampaian Notis-notis Taksiran (Tambahan) seperti ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan kenaikan cukai sebanyak 10 peratus, defendan perlu membayar kesemuanya berjumlah RM6,779,852.36, faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.
Sementara itu, menerusi pernyataan tuntutan terhadap Loo, Kerajaan Malaysia mendakwa bagi Tahun-Tahun Taksiran 2012 dan 2014, defendan telah ditaksirkan dengan Taksiran Tambahan masing-masing berjumlah RM1,495,366.08 dan RM571,979.72 melalui Notis-Notis Taksiran (Tambahan) masing-masing bertarikh 19 Oktober 2020.
Plaintif mendakwa Notis-notis Taksiran (Tambahan) itu telah dihantar secara pos berdaftar kepada defendan pada 18 November 2020 ke alamat terakhirnya di Damansara Heights, di sini yang diketahui oleh plaintif pada masa itu, namun notis berkenaan tidak pernah dikembalikan kepada plaintif.
Menurut plaintif, bagi Tahun Taksiran 2016, defendan telah ditaksirkan dengan cukai pendapatan berjumlah RM75,292.96 melalui Notis Taksiran bertarikh 19 Oktober 2020 dan dihantar secara pos berdaftar kepada defendan pada 18 November tahun sama ke alamat sama, namun notis itu tidak pernah dikembalikan kepada plaintif.
“Defendan juga gagal mengemukakan Borang-borang Nyata Orang Perseorangan di bawah Seksyen 77 Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun-tahun taksiran 2017 dan 2018 kepada plaintif dalam tempoh masa ditetapkan iaitu pada atau sebelum 30 April 2018 dan 30 April 2019.
“Satu taksiran berjumlah RM76,510.72 dan RM50,062.40 (termasuk penalti di bawah Seksyen 112(3) Akta Cukai Pendapatan 1967) telah dibangkitkan melalui Notis-notis Taksiran bertarikh 19 Oktober 2020 dan Notis-notis Taksiran bagi 2017 dan 2018 yang telah dihantar ke alamat terakhir defendan juga tidak pernah dikembalikan kepada plaintif,” katanya.
Plaintif berkata, oleh kerana defendan telah gagal membayar jumlah cukai dalam tempoh 30 hari dari tarikh penyampian notis taksiran itu, kenaikan cukai 10 peratus dikenakan yang kesemuanya berjumlah RM2,496,133.05.
Oleh itu, plaintif menuntut cukai pendapatan defendan yang masih terhutang kesemuanya berjumlah RM2,496,133.05, faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.
Pada 15 Januari lepas, Kerajaan Malaysia memfailkan saman terhadap seorang lagi sekutu Jho Low, Eric Tan Kim Loong memintanya membayar cukai pendapatan berjumlah RM68 juta. – Bernama