
Bhoomi Chauhan
AHMEDABAD, India: Kesesakan lalu lintas menyebabkan seorang pelajar pengurusan perniagaan terlepas penerbangan Air India ke London yang kemudian terhempas di bandar ini, Khamis lalu.
Pelajar berkenaan, Bhoomi Chauhan masih ingat perasaan marah dan kecewanya apabila terlepas penerbangan itu apabila lewat hanya 10 minit, lapor BBC News.
Chauhan, 28, yang tinggal di Bristol bersama suaminya berada di barat India untuk bercuti dan dijadualkan pulang menaiki penerbangan AI171 yang terhempas sejurus selepas berlepas sekali gus mengorbankan 241 orang di dalam pesawat serta beberapa lagi di darat.
Menceritakan kejadian itu, Chauhan berkata, selepas tiba di lapangan terbang kurang daripada sejam sebelum waktu berlepas, kakitangan syarikat penerbangan tidak membenarkannya masuk.
“Kami sangat marah dengan pemandu kami dan meninggalkan lapangan terbang dalam keadaan kecewa.
“Kami keluar dari lapangan terbang dan berhenti di suatu tempat untuk minum teh dan tidak lama selepas itu, sebelum beredar… kami sedang berbincang dengan ejen pelancongan mengenai cara untuk mendapatkan bayaran semula tiket.
“Ketika itu, saya menerima panggilan yang memberitahu pesawat itu terhempas. Ini benar-benar satu keajaiban bagi saya,” katanya.
Chauhan berkata, dia tiba di lapangan terbang pada 12.20 tengah hari (waktu tempatan) iaitu 10 minit selepas waktu menaiki pesawat sepatutnya bermula.
Pas masuk digitalnya yang dilihat oleh BBC News menunjukkan dia ditetapkan untuk tempat duduk kelas ekonomi 36G.
Walaupun sudah mendaftar masuk secara dalam talian, dia berkata, kakitangan syarikat penerbangan tidak membenarkannya melengkapkan proses itu di lapangan terbang.
Dia sebelum itu dari Ankleshwar yang terletak 201 kilometer (km) di selatan Ahmedabad sebelum terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di pusat bandar Ahmedabad.
“Saya sangat kecewa apabila terlepas penerbangan. Satu-satunya perkara yang bermain di fikiran saya ialah, ‘Kalau saya keluar lebih awal sedikit, saya pasti sempat menaiki pesawat.
“Saya merayu kepada kakitangan syarikat penerbangan supaya benarkan saya masuk kerana saya hanya lewat 10 minit. Saya beritahu mereka, saya penumpang terakhir, jadi tolong benarkan saya naik pesawat, tetapi mereka tetap tidak benarkan,” katanya.
Pesawat itu melanggar kawasan perumahan yang mengorbankan 241 penumpang dan 12 kru penerbangan.
Sekurang-kurangnya lapan orang di darat turut disahkan maut setakat ini. – Agensi