AMMAN: Sepuluh terbunuh manakala lebih 200 cedera pada Isnin lalu dalam letupan gas toksik di Pelabuhan Aqaba Jordan, kata Pihak Berkuasa.
Rakaman di televisyen kerajaan menunjukkan sebuah silinder besar menjunam dari kren ke atas kapal menyebabkan pelepasan gas kuning yang banyak.
Kekuatan letupan menyebabkan sebuah trak beruling di tepi pelabuhan, manakala pekerja pelabuhan turut dilihat berlari menyelamatkan diri.
Penduduk di kawasan berdekatan dipindahkan dan penduduk disuruh tinggal di dalam rumah.
“Angka kematian meningkat kepada 10 orang,” ujar jurucakap kerajaan Faisal al-Shaboul selepas jumlah awal menunjukkan lima orang dilaporkan terbunuh.
Perdana Menteri, Bishr Khasawneh dan Menteri Dalam Negeri, Mazen al-Faraya juga dilaporkan ke lokasi kemalangan bagi meninjau kejadian, lapor media kerajaan.
Jurucakap Pertahanan Awam, Amer al-Sartawy sebelum ini melaporkan bahawa 234 orang cedera selepas tangki yang diisi dengan gas toksik itu jatuh.
“Pakar dan pasukan bahan berbahaya dalam pertahanan awam sedang menangani kejadian itu,” tambah Sartawy.
Menurut sumber rasmi Jordan, pantai selatan Aqaba ditutup buat sementara waktu berikutan kejadian itu.
Mangsa yang cedera dibawa ke dua hospital negeri, satu kemudahan swasta dan sebuah hospital lapangan.
Pengarah Kesihatan Aqaba, Jamal Obeidat berkata bahawa, hospital penuh di kawasan itu dan tidak boleh menerima lebih banyak kes.
“Individu yang cedera berada dalam keadaan sederhana hingga kritikal,” tambahnya.
Pada masa sama, beliau menggesa penduduk Aqaba untuk tinggal di rumah mereka dan menutup semua tingkap sebagai langkah berjaga-jaga dengan menyatakan bahawa bahan kimia itu sangat berbahaya, tanpa menyatakan jenis bahan kimia berbahaya itu.
“Kerajaan membentuk pasukan yang diketuai Menteri Dalam Negeri untuk menyiasat kemalangan itu dan mengambil langkah yang perlu,” kata al-Shaboul.
Jurucakap kerajaan menggesa rakyat supaya tidak mendekati lokasi kemalangan, sambil menambah bahawa bantuan perubatan sedang dihantar ke Aqaba.
Pelabuhan Aqaba Jordan adalah satu-satunya terminal marin negara itu dan pusat transit utama untuk sebahagian besar import dan eksportnya. -AFP