
DOHA: Satu letupan di sebuah stesen pengagihan gas di bandar perindustrian Ras Laffan di Qatar meragut nyawa 13 orang, termasuk warga India dan Pakistan, kata Menteri Negara bagi Tenaga Qatar, Saad bin Sherida Al Kaabi pada Isnin, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Pada Ahad malam, Kementerian Dalam Negeri Qatar mengesahkan satu letupan berlaku di dalam kemudahan bekalan gas tempatan Barzan di Bandar Perindustrian Ras Laffan akibat insiden teknikal, menyebabkan beberapa orang cedera.
“Tragedi itu meragut nyawa 13 pekerja kami dari India dan Pakistan. Seramai 66 pekerja lain cedera dan sedang dirawat di hospital. Keadaan kesihatan mereka yang cedera tidak membimbangkan,” kata menteri itu dalam sidang media, sambil menjelaskan dalam kalangan mangsa yang cedera terdapat warga Qatar, serta mereka berasal dari negara Asia dan Afrika.
Menteri itu juga berkata letupan berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan sebarang tindakan ketenteraan atau sabotaj.
“Insiden di stesen pengagihan gas Barzan, tempat berlakunya letupan itu, tidak memberikan kesan negatif kepada alam sekitar,” katanya, sambil berkata letupan itu tidak menjejaskan jumlah eksport mahupun bekalan tempatan.
Pada masa yang sama, menteri berkenaan tidak menyatakan bila kemudahan itu akan dipulihkan, dengan menjelaskan yang penilaian kerosakan sepenuhnya masih perlu dijalankan.
Beliau berkata kemudahan itu ditutup sepenuhnya sejak Disember 2025 dan baru sahaja dibuka semula dua hari lepas.
Reuters melaporkan pada Ahad, sekurang-kurangnya 18 orang dilaporkan hilang selepas letupan itu. – Bernama-Sputnik/RIA Novosti