ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dalam kejadian letupan yang menggegarkan stesen kereta api di Quetta, barat daya Pakistan yang dipercayai berpunca daripada serangan bunuh diri, menurut pegawai tempatan pada Sabtu.
Letupan di wilayah Balochistan itu turut menyebabkan lebih 30 orang cedera dan angka korban dijangka meningkat, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Ketika kejadian, ratusan penumpang sedang menunggu di platform stesen berkenaan. Foto di media sosial menunjukkan platform rosak teruk, dengan bumbung runtuh akibat impak letupan.
“Siasatan awal menunjukkan ia adalah serangan bunuh diri,” kata pegawai polis tempatan, Azam Baloch.
Bagaimanapun, polis sedang mengumpul bukti dan menjalankan siasatan lanjut.
Susulan kejadian, darurat telah diisytiharkan di hospital-hospital sekitar bandar berkenaan, menurut jurucakap kerajaan Balochistan, Shahid Rind.
Tentera Pembebasan Balochistan (BLA), kumpulan militan etnik Baloch yang berjuang untuk kemerdekaan daripada Pakistan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.
Bulan lalu, kumpulan itu juga mengaku bertanggungjawab atas serangan yang mengorbankan dua jurutera China di Karachi dan 20 pelombong dalam kejadian lain. – Bernama