Bunyi paluan lesung di sekitar perumahan di Bintulu menjadi tanda bahawa musim bubuk sedang melanda.
Bagi masyarakat Bintulu, kemunculan bubuk atau udang geragau di awal tahun lazimnya, adalah merupakan salah satu detik yang amat dinanti-nantikan saban tahun.
Candang Sangi, seorang nelayan yang sudah menjenguk usia senja berkongsi pengalamannya menangkap bubuk sejak tahun 70-an ketika ditemui Utusan Sarawak baru-baru ini.
“Saya ini memang orang nelayan, bermula daripada tahun 1972 di mana pada masa itu semua anak-anak saya masih kecil lagi.
“Sekarang ini, walaupun sudah tua dan tidak mampu lagi turun ke laut, saya tetap datang menolong untuk berjual bubuk,” katanya.
Tambahan, jelasnya, tahun ini diakui sedikit berlainan, bukan sahaja disebabkan situasi Covid-19 tapi juga tempoh musim bubuk yang ternyata lebih lama berbanding tahun lepas.
Selain itu, Candang yang jelas sudah arif mengenai bubuk turut berkongsi bagaimana cara ringkas pembuatan produk berasaskan bubuk paling terkenal iaitu belacan.
“Langkah pertama adalah menjemur bubuk yang sudah ditabur dengan garam secukupnya di bawah matahari panas terik, selepas itu baru kita tumbuk bubuk tersebut sehingga hancur.
“Proses itu kita ulang untuk beberapa kali, bergantung pada kemahuan masing-masing, tapi selalunya tiga kali saja pun sudah bagus,” terang Candang.
Selain belacan, katanya lagi, bubuk juga boleh dibuat menjadi cencaluk, bubuk kering ataupun air belacan yang sesuai dijadikan sebagai sos pencecah.
Dalam pada itu, Candang memberitahu, bubuk di Bintulu amat dikenali dan menjadi pilihan orang ramai kerana kadang-kadang pembeli juga datang daripada kawasan luar.
“Banyak orang luar datang ke sini untuk membeli bubuk di sini, misalnya dari Kuching dan Miri.
“Lebih-lebih lagi orang di Miri yang sering datang ke sini disebabkan jaraknya yang lebih dekat,” ujarnya.
Sehingga 2 April lalu, jualan bubuk masih terjual seperti ‘pisang goreng panas’ meskipun sudah sebulan lebih dilanda musim tersebut.
Harga bubuk juga semakin murah sekarang apabila masih boleh lagi didapati di lautan yang jelas agak berbeza daripada tahun lepas di mana udang geragau itu hanya singgah untuk tempoh yanh lebih singkat.
Sejak akhir-akhir ini, bubuk dijual dalam lingkungan harga RM10 hingga RM15 segantang sehingga surirumah yang sudah membeli sebelum ini kembali lagi ke pasar untuk mendapatkan bubuk.
Nampaknya, aktiviti jual beli bubuk dijangka akan berterusan meriah di belakang Pasar Tamu Bintulu dan beberapa lokasi lain sekitar Bintulu selagi bubuk masih singgah di perairan bandar minyak itu.
Oleh CAROLYNE UTIH