
BINTULU: Program Pembangunan Profesional Berterusan Industri (iCPD) – Program Penyelaras OSH 2025 berperanan penting dalam melengkapkan tenaga kerja Sarawak dengan kemahiran asas untuk menghadapi tuntutan landskap global yang sentiasa berubah.
Timbalan Setiausaha Jabatan MEITD Anielia Siam berkata, ia juga melengkapkan tenaga kerja Sarawak dengan kemahiran asas diperlukan bagi menghadapi tuntutan landskap global yang sentiasa berkembang.
“Modal insan adalah asas kepada mana-mana ekonomi yang maju, dan inisiatif ini menekankan komitmen kami terhadap peningkatan dan pembangunan semula kemahiran tenaga kerja,” ujarnya ketika berucap mewakili Menteri MEITD Dato Sri Roland Sagah Wee Inn di sebuah hotel terkemuka semalam.
Tambah beliau, pensijilan OSH bukan sahaja keperluan undang-undang di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 tetapi juga kewajipan moral.
Ujarnya lagi, Program Penyelaras OSH bertujuan mengurangkan risiko ini dengan memastikan keselamatan tempat kerja menjadi keutamaan dalam semua sektor.
“Pada 2019, Malaysia mencatatkan 578 kematian akibat kemalangan pekerjaan. Angka ini bukan sekadar statistik—ia mewakili kehilangan nyawa dan kesan terhadap keluarga dan komuniti,” jelasnya.
Program Penyelaras OSH iCPD mula diperkenalkan pada 2024 sebagai sebahagian daripada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang kini memasuki tahun kedua dengan program tersebut telah diperluaskan untuk merangkumi pensijilan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH).
Penambahbaikan ini mencerminkan dedikasi program terhadap mewujudkan tenaga kerja yang sangat mahir dan selamat untuk memenuhi tuntutan ekonomi hijau dan berteknologi maju. – UKAS