SARIKEI: Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) terus menjadi pemangkin utama pembangunan Bahagian Sarikei apabila pelbagai projek sedang dan telah dilaksanakan bagi memperkukuh infrastruktur, merangsang pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di Sarikei, Meradong, Julau dan Pakan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, penubuhan RADDA oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 19 Jun 2022 dengan peruntukan RM1.5 bilion membuktikan komitmen kerajaan Sarawak untuk mempercepatkan pembangunan di kawasan Delta Rajang melalui pendekatan yang lebih tersusun dan berfokus.
Katanya, RADDA menggunakan pendekatan dari bawah ke atas, iaitu setiap projek dirancang berdasarkan keperluan sebenar masyarakat setempat supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh, sekali gus mempercepatkan pertumbuhan ekonomi di Bahagian Sarikei.
“Pendekatan ini membolehkan projek pembangunan dirancang mengikut keperluan rakyat di peringkat akar umbi, sekali gus memastikan setiap peruntukan yang disalurkan benar-benar memberi manfaat kepada komuniti,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei 2026, hari ini.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, selaras dengan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), Bahagian Sarikei kini menyaksikan transformasi yang ketara meliputi sektor ekonomi, pendidikan, sosial, kesihatan, infrastruktur, kemudahan awam dan pendigitalan.
Katanya, sehingga kini keseluruhan nilai projek pembangunan di Bahagian Sarikei telah mencecah RM4.9 bilion, melibatkan 34 projek di bawah RADDA, 63 projek Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), 114 projek melalui pembiayaan alternatif dan 28 projek rakyat.
Pelaksanaan projek-projek tersebut, katanya, bukan sahaja meningkatkan jaringan jalan raya, bekalan utiliti dan kemudahan awam, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi, merancakkan sektor pertanian serta menarik pelaburan baharu ke Bahagian Sarikei.
Beliau turut menyifatkan Program SKS sebagai platform penting bagi mendekatkan kerajaan dengan rakyat, di samping memberi peluang kepada masyarakat melihat sendiri pencapaian pembangunan yang telah dilaksanakan serta perancangan masa depan kerajaan Sarawak.
“Program ini bukan sahaja menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan di bawah satu bumbung, malah membolehkan rakyat mendapatkan maklumat secara terus mengenai dasar, inisiatif dan projek pembangunan yang sedang dilaksanakan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau mengajak orang ramai mengunjungi ruang pameran pembangunan yang disediakan sepanjang SKS bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai projek-projek RADDA serta pelbagai inisiatif pembangunan lain yang sedang dan akan dilaksanakan di Bahagian Sarikei.
Tambahnya, kerjasama erat antara kerajaan negeri, agensi pelaksana dan masyarakat akan terus menjadi pemacu kepada usaha merealisasikan aspirasi PCDS 2030, sekali gus memastikan Bahagian Sarikei terus berkembang sebagai antara wilayah yang berdaya saing dan makmur di Sarawak.
Oleh Earl Anek




