GELI ATAU TIDAK? Gambar jarak dekat menunjukkan haiwan Lelitak yang amat digemari oleh masyarakat pribumi Sarawak bagi tujuan hidangan makanan eksotik selama ini.
Geli…menjijikan…sudah pastinya ini akan menjadi rasa serta tanggapan pertama anda yang belum pernah melihat sendiri haiwan Lelitak secara lebih dekat apatah lagi memegangnya sendiri dengan tangan.
Ini kerana Lelitak boleh diumpamakan sebagai haiwan siput yang tidak memiliki cengkerang dan boleh ditemui merayap di sawah padi, pinggir sungai atau mana-mana kawasan tanah yang basah serta lembap.
Menurut carian di laman web Google, Lelitak sebenarnya merupakan sejenis spesis siput laut pulmonate yang dikategorikan dalam keluarga Onchidiidae dengan nama saintifiknya yang betul adalah Onch Slug.
Haiwan yang mendapat julukan Abalone Sarawak ini adakalanya dipandang sebagai lintah. Maka tidak hairanlah sesetengah penduduk berasa jijik apabila melihat foto haiwan itu di media sosial atau ketika dijual oleh peniaganya sendiri.
Bagaimanapun bagi mereka yang gemar menikmati makanan eksotik maka perkataan geli dan menjijikan itu sudah pastinya akan hilang daripada kamus fikiran sebaik sahaja kelembutan tektur daging haiwan ‘hancur’ di dalam kunyahan mulut mereka.
Ini kerana menurut mereka, daging Lelitak yang digoreng dengan kicap, direbus bersama cangkuk manis atau digoreng dengan cili dikatakan memiliki keenakan yang sama dengan pedal ayam.
Malah ada juga di antara penggemar makanan eksotik memberitahu bahawa daging Lelitak juga boleh dimasak dengan Upak Selalih@ Lalih, dimasak dengan keladi dan banyak lagi cara yang lain
Untuk pengetahuan penulis sendiri pernah merasa sendiri daging Lelitak pada 2013. Ketika itu haiwan eksotik berkenaan direbus bersama daun ubi yang sudah ditumbuk bersama dengan beberapa perasa tambahan lain.
Dari segi rasa keenakan dagingnya penulis boleh memberi markah lapan daripada 10. Namun disebabkan bukan penggemar utama makanan eksotik maka penulis hanya menikmatinya sekali sahaja keenakan daging haiwan itu hingga sekarang.
Sememangnya tidak dinafikan bahawa Lelitak masih kekal menjadi minat para penggemar makanan eksotik dengan bukti mengenai perkara ini telah dilihat berlaku di Pasar Tamu Simanggang yang baharu pada Januari lepas.
Seorang peniaga wanita di situ telah menjual Lelitak sepenuh satu tudung salji dengan ramai penggemar makanan eksotik khasnya masyarakat Iban berebut membeli haiwan itu pada harga RM10 semangkuk dan habis sebelum menjelang jam 11 pagi.
Faktornya ‘pantas laku’ mungkin disebabkan hanya dia sahaja menjual Lelitak di situ. Bagaimanapun apa yang pasti Lelitak masih meraih populariti dalam kalangan penggemar makanan eksotik di negeri melalui masakan pelbagai cara.
Cuma malangnya di sini adalah tidak ramai penggemar makanan eksotik yang bertindak berkongsi gambar resepi masakan Lelitak masing-masing di media sosial hingga masa sekarang.
Justeru jika anda mahu merasai sendiri keenakan daging Lelitak tersebut maka carilah mereka yang tahu memasaknya atau berhubung dengan pengamal media sosial yang ada berkongsi resepi-resepi masakan haiwan itu. Selamat mencuba!
Oleh VALENTINE NGUMBANG