

DIA tercungap-cungap. Penat rasanya berlari di hutan tebal yang gelap seperti tidak berpenghujung itu. Sesekali dia melirik ke belakang, seolah-olah ada makhluk yang mengejarnya.
Dia meneruskan langkahnya sehinggalah kakinya terlanggar akar pokok yang membuatkan dia jatuh. Dia tidak mampu untuk bangun lagi.
Sungguh penat dirinya. Derap tapak kaki semakin menghampiri. Dia hanya menundukkan kepala ke lantai hutan, pasrah dengan nasib yang bakal menimpanya.
***
Matanya terbuka luas. Peluh merenik membasahi dahinya. Keluhan lega terlepas di bibirnya apabila menyedari dia berada di dalam biliknya, terbaring di atas katil.
Suasana bilik yang gelap sedikit sebanyak menenangkan dirinya. Hanya cahaya bulan yang menerangi biliknya. Ryan cuba bangun dari perbaringannya, namun gagal.
Dia mencuba sekali lagi, tiada seinci pun badannya bergerak. Dia seolah-olah terpaku di atas katilnya. Hanya matanya saja yang boleh melilau sekeliling.
Ryan mula panik. Dia cuba berkali-kali menggerakkan tubuhnya, namun berkali-kali juga gagal. Dia berasa takut. Dia menutup matanya, lalu membukanya kembali perlahan-lahan. Sebuah figura hitam berdiri tegak di hujung katilnya, memandang tepat ke arah Ryan.
Nafas Ryan kembali laju, perasaan takut mendominasi dirinya. Hanya satu perkataan yang keluar daripada mulutnya. ‘Allahu akbar!’
Ryan terus beristighfar dan memohon doa hanya kepada Allah. Semakin kuat dia beristighfar, semakin sukar untuk dia bernafas. Dia seolah-olah hilang tempat bergantung, namun Ryan tetap memohon pertolongan daripada-Nya.
Dia menutup matanya sebelum dia membuka kembali. Tiada lagi figura yang merenungnya. Hanya ada dia dan bilik tidurnya yang sunyi dan gelap-gelita. Ryan hanya terdiam sepi, hairan akan benda yang di alaminya atau diimiginasinya.
“Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah tempat meminta segala sesuatu.”
Keesokan harinya, Ryan berjalan perlahan ke sekolah. Jelas kelihatan penat di wajahnya. Seorang rakannya iaitu Azril bertanya keadaan Ryan yang lemah tidak bermaya itu.
Ryan menoleh ke arah rakannya itu, ingin bercerita tetapi ditelan mati mak, diluah mati bapa. Setelah beberapa minit berdiam diri, akhirnya Ryan membuka mulut.
“Kau percaya tak kalau aku cakap aku tak boleh gerak waktu tidur?”
Azril yang sememangnya menumpukan perhatian kepada Ryan cepat-cepat mengambil tepat duduk di sebelah Ryan.
Ryan menceritakan mimpinya kepada Azril, termasuklah mimpi ngerinya yang dikejar di dalam hutan. Azril sangat menunjukkan minat pada ucapan Ryan, lalu berkata
“Oh, aku tahu ni ! Orang panggil sleep paradise kan?”
Ryan terdiam seketika sebelum ketawa terbahak-bahak “Sleep paralysis lah, ril!”
Hilang terus rasa panik dan takut yang berlabuh di hatinya sebentar tadi. Pandai sungguh rakannya membantu dia menghadapi rasa takut.
Hari demi hari, semakin kerap Ryan mengalami kelumpuhan tidur. Kadangkala, baru saja terlelap 2 minit, kelumpuhan tidur sudah menguasai dirinya.
Oleh sebab hal itu, Ryan mengalami masalah sukar untuk tidur. Tiap kali menutup mata, ada saja makhluk yang memandang tepat ke arahnya jika dia membuka mata kembali.
***
Suatu hari, Ryan sudah bersedia untuk tidur. Dia memastikan tempat tidurnya bersih sebelum dia merebahkan diri di atas katil empuk miliknya. Dia memandang siling, fikirannya jauh melayang. Hanyut dalam imaginasinya sendiri. Sedang dia berimaginasi, figura hitam tiba-tiba muncul.
Merenungnya tajam. Figura tersebut menghampirinya perlahan-lahan. Dia menjerit ketakutan, dia cuba bangun dari perbaringannya. Namun seperti biasa, dia terpaku, tidak dapat menggerakkan badannya.
Panik mula menguasai diri Ryan, matanya terpejam rapat. Dia sangat berharap ibu atau ayahnya masuk ke dalam bilik tidur untuk membantu dirinya walaupun dia tahu perkara tersebut mungkin tidak akan terjadi.
Bunyi pintu dikuak kedengaran. Ryan membuka matanya. Dia melihat susuk tubuh ibunya berada di pintu. Jelas kerisauan terlakar di wajahnya. Ryan bangun dari katil dan terus memeluk ibunya erat.
Sungguh dia memerlukan pelukan dari seseorang. Ibunya membawa Ryan keluar dari bilik tidurnya. Namun Ryan berasa hairan melihat keadaan di ruang tamu yang gelap gelita. Dia menoleh ke arah ibunya. Ibunya hanya tersenyum memandangnya.
Serta-merta meremang bulu roma Ryan. Dia menolak ibunya dengan kuat. Ibunya masih lagi tersenyum ke arahnya. Dia tahu `ibunya` itu adalah figura hitam yang memandangnya tadi.
Dia bagai dihempap kebenaran. Dia bukanlah anak yang akan memeluk ibunya apabila berasa takut. Dia terduduk ketakutan di atas lantai. Figura tersebut menyeringai ke arahnya. Kepala Ryan berdenyut kuat, pandangannya bertukar hitam sebelum suasana kembali tenang.
Ryan membuka matanya, dia masih lagi berada di atas katil. Dia melilau sekeliling, tiada lagi figura hitam yang memandangnya. Dia menoleh ke arah jam di dinding, jarum pendek jam tepat menunjukkan angka satu. Dia mengeluh.
Malas mahu berfikir panjang, Ryan bangun dari perbaringannya dan menuju ke bilik air. Dia mencuci mukanya dan berwuduk. Dia ingin melakukan qiamullail, hanya itu yang mampu menenangkan dirinya sekarang.
Selesai qiamullail, Ryan hanya baring di atas sejadah. Dia berasa tenang, malam yang sunyi menambahkan lagi ketenangan di hatinya. Dia hanya berbaring diam memandang siling.
Dia masih tertanya-tanya tentang mimpi yang selalu dialaminya. ‘Mengapa mesti aku yang perlu hadap lumpuh tidur ni?’. Persoalan itu sering kali muncul di benak fikirannya sejak dia mengalami kelumpuhan tidur.
Ada kalanya dia melakukan pencarian tentang lumpuh tidur di internet, namun dia tidak menemui jawapan yang dapat memuaskan hatinya. Dia juga pernah bertanya kepada rakan sekelasnya, namun tiada seorang pun yang pernah mengalami lumpuh tidur sepertinya.
Masalah sukar untuk tidur membuatkan Ryan sukar untuk fokus di dalam kelas. Keputusan peperiksaan penggal dua dia jatuh merudum. Ryan merupakan pelajar cemerlang, keputusan peperiksaannya yang merosot menjadi persoalan kepada guru-guru yang mengajariya. Azril yang sememangnya peka dengan keadaan sekeliling ingin membantu rakannya.
“Aku rasa kau perlu jumpa kaunselinglah Ryan. Teruk betul keadaan kau sekarang. Tak terurus langsung!”
“Nanti-nanti je lah”, jawab Ryan sambil lewa.
Bukan Ryan tidak cuba berkongsi masalah, tapi dia penat. Dia sudah banyak berkongsi masalah yang dihadapinya kepada ibu ayahnya, tapi mereka langsung tidak mempercayai kata-kata Ryan.
Mereka menggangap Ryan hanya berimaginasi sahaja, walhal hal itulah yang menyebabkan mereka ‘kehilangan’ Ryan yang ceria.
Sijil Pembelajaran Malaysia (SPM) semakin mendekat. Namun Ryan belum lagi menemui cara untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Dia memerlukan pertolongan dan sokongan daripada seseorang untuk terus bersemangat. Walaupun bukan secara fizikal tapi mental Ryan sudah terlalu penat untuk menghadapi kelumpuhan tidur ini.
Pada suatu hari, Azril datang ke rumah Ryan dengan membawa berita yang mungkin dapat menggembirakan Ryan. Azril bersungguh-sungguh memberitahu Ryan bahawa dia sudi membantu Ryan menghadapi kelumpuhan tidur.
“Kau kena percaya kat aku Ryan. Kau kena atur jadual tidur kau dan banyakkan berehat.”
Azril yang sememangnya tahu Ryan sangat suka melayari internet sehingga lewat malam memberi nasihat dengan lembut kepada Ryan. Ryan hanya berdiam tidak berkutik. Dia akui dia tidak mempunyai jadual tidur yang teratur.
Ada kalanya dia tidur terlalu awal, adakala tidur terlalu lewat malah kadang-kadang dia langsung tidak tidur. Dia juga sedar, kelumpuhan tidur yang dihadapinya menjadi sangat teruk apabila dia tidur dalam keadaan yang sangat penat.
Ryan bertekad untuk mengubah gaya hidupnya. Dia ingin menjadi murid yang sangat berdedikasi seperti dirinya dahulu. Impiannya untuk mengecapi keputusan cemerlang mampu membantu dia untuk berubah.
Perlahan-lahan Ryan cuba tidur dengan teratur. Dia tidak lagi bangun sehingga lewat malam. Masa yang terluang juga dia luangkan dengan belajar sebagai persediaan untuk menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia.
Ryan juga sudah berani berkongsi masalah yang dihadapinya kepada guru kaunseling iaitu Cikgu Mimi di sekolahnya. Dia menceritakan seluruh mimpi yang dialaminya.
Peliknya, Ryan masih lagi ingat akan mimpi tersebut walaupun sudah beberapa bulan berlalu. Cikgu Mimi langsung tidak menganggap masalah yang dihadapi oleh Ryan adalah perkara yang remeh, membuatkan Ryan semakin selesa untuk berkongsi masalah kepadanya.
Cikgu Mimi memberi nasihat kepada Ryan supaya lebih menjaga kesihatan diri dari segi fizikal mahupun mental. Ryan menerima nasihat guru kaunseling dengan hati yang terbuka.
Lapang hatinya kerana dapat meluahkan apa yang terpendam di lubuk hatinya kepada seseorang. Berkat nasihat daripada Azril dan Cikgu Mimi serta usaha daripada Ryan sendiri, dia dapat tidur dengan nyenyak.
Ibu ayah Ryan yang melihat perubahan Ryan sedikit sebanyak membuatkan mereka percaya dengan masalah yang dihadapi Ryan dahulu. Mereka berasa serba salah kerana tidak peka dengan keadaan anak mereka sendiri.
Mereka memberi sokongan kepada Ryan untuk berubah. Tidak lupa juga hubungan dengan Yang Maha Esa, Ryan sangat suka menghadiri program ilmiah yang berkaitan agama.
Hari Sijil Pelajaran Malaysia kini tiba. Ryan fokus menjawab kertas peperiksaan. Semua ilmu yang tersemat di minda dicurahkannya ke atas helaian kertas. Dia bersyukur dia sempat berubah sebelum SPM tiba.
Kelumpuhan tidur yang dihadapinya juga semakin berkurang, tidak sekerap seperti sebelumnya.
Beberapa bulan kemudian, keputusan SPM kini diumumkan. Ryan telah mendapat keputusan yang sangat cemerlang, berjaya membanggakan ibu bapanya. Senyuman manis terukir dibibir.
Bibirnya tidak henti-henti mengucapkan rasa syukur terhadap Ilahi kerana telah mengabulkan doanya untuk membanggakan ibu bapanya. Tidak lupa juga sahabat baiknya, Azril turut mendapat keputusan yang cemerlang. Dia turut bangga dengan pencapaian Azril.
Dia naik ke pentas bersama-sama ibu bapanya untuk mengambil keputusan SPM. Dia berjalan dengan yakin dan senyuman bangga terukir di bibirnya.
Tiba-tiba suara berdering nyaring di telinga, terhenti langkahnya di atas pentas tersebut. Jelas suara kerisauan milik ibu ayah bertanya di sisinya. Dia menutup matanya kerana suara tersebut sangat membingitkan telinga sebelum dia rebah ke lantai.
Matanya terbuka luas, sebuah figura hitam masih memandang tepat ke arahnya. Dia tidak dapat menggerakkan tubuh badannya. Rupa-rupanya semua kisah tersebut hanyalah mimpi.
Mimpi yang membawa dia kembali ke sini, terbaring di atas katil. Tetapi kali ini, dia lebih tenang, tidak lagi panik seperti sebelumnya. Menghadapi kelumpuhan tidur dengan ketenangan adalah kemenangan. Hidup adalah sebuah wayang dan manusialah pelakonnya.
Oleh Nursyerra Nabila (Syerabella)