
MUKAH: Seorang lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan tempat letak kenderaan berhampiran premis perniagaan di pekan Selangau, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, suspek berusia 23 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah dalam satu serbuan kira-kira 12.30 tengah hari.
Menurutnya, hasil pemeriksaan menemukan satu keratan tiub straw lutsinar yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu dengan anggaran berat kasar 0.40 gram.
“Suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek telah direman selama empat hari sehingga 14 Februari ini bagi melengkapkan siasatan,” tegasnya.
Oleh Akun Giman