
BINTANGOR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warganegara Indonesia yang dikhuatiri lemas di Sungai Penasu masih diteruskan hari ini.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata mangsa berumur 21 tahun dilaporkan hilang dan dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam sungai semasa bekerja di tapak binaan Loji Air Kampung Penasu, semalam.

“Kejadian berlaku sekitar 11.30 pagi dan dimaklumkan oleh setiausaha Kampung Penasu.
“Mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan dilaporkan tergelincir ketika melakukan kerja pertukangan dan kali terakhir dilihat memakai baju lengan pendek hitam, ‘sweater’ kelabu dan seluar panjang hitam.
“Operasi SAR dimulakan pada hari sama 1.00 petang melibatkan pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong, pihak Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro serta penduduk kampung,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Tambahnya, kaedah pencarian dijalankan secara pemerhatian permukaan air dengan radius sekitar lima kilometer (km) dari lokasi kejadian.
Setakat berita ditulis, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR masih dijalankan.
Oleh Earl Anek