
BINTANGOR: Seorang lelaki warganegara Indonesia yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke dalam sungai di tapak pembinaan Loji Air Kampung Penasu pada Ahad lalu, telah ditemui meninggal dunia hari ini.
Mayat mangsa ditemui pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata mayat mangsa ditemui terapung kira-kira dua kilometer (km) dari lokasi kejadian.
“Mangsa bekerja sebagai buruh binaan dan dikenali sebagai Rendy, berasal dari Singkawang, Indonesia.

“Mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam sungai pada 21 September sekitar 10.00 pagi ketika sedang bekerja bersama rakan sekerja (saksi kejadian) yang kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Bintangor.
“Pasukan polis menerima maklumat awal daripada setiausaha Kampung Penasu sebelum melancarkan operasi SAR bersama pelbagai agensi termasuk pasukan Marin Wilayah Lima, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daro, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daro dan penduduk kampung,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambahnya, pihak keluarga mangsa dan penduduk kampung telah membuat pengecaman dan mengesahkan identiti mangsa.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sarikei untuk tindakan lanjut.
“Operasi SAR ditamatkan secara rasmi pada 11.30 pagi tadi,” katanya.