
SIBU: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara selama 16 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan bawah umur.
Tertuduh dikenali sebagai Buni, 25, sebelum ini melarikan diri daripada tahanan polis namun berjaya diberkas semula dua hari kemudian.
Hakim Musyiri Peet menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan, dengan arahan agar hukuman itu dijalankan secara berasingan bermula dari tarikh tangkapan iaitu 13 Jun 2025.
Berdasarkan kertas pertuduhan, perbuatan itu dilakukan terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun tujuh bulan di sebuah rumah panjang di Batang Igan.
Kejadian berlaku pada dua waktu berasingan iaitu antara 3.00 hingga 4.00 petang pada Mac 2025 dan sekitar 6.30 hingga 7.30 malam pada April 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Dalam kes berasingan di mahkamah sama, Buni turut dihukum penjara lapan bulan atas kesalahan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di Malaysia selepas pas lawatan sosialnya tamat pada 30 Julai 2024.
Kesalahan itu dilakukan di rumah panjang sama di Batang Igan sekitar jam 5 petang, 13 jun 2025 dan dituduh di bawah Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 serta dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta sama.
Sementara itu, Mahkamah Majistret juga menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan ke atas Buni atas kesalahan melarikan diri daripada tahanan polis semasa dalam perjalanan ke lokap di Balai Polis Sentral.
Kejadian berlaku sekitar 4.00 petang,21 Jun 2025 apabila suspek meloloskan diri dengan tangan bergari selepas diarahkan masuk ke lokap oleh anggota polis.
Kes itu didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, suspek berjaya diberkas semula oleh pihak polis pada awal pagi 23 Jun di hadapan sebuah rumah di Jalan Terap.
Oleh Tarani Lanting