
KUCHING: Seorang lelaki warga emas maut manakala seorang lagi cedera dalam satu kejadian di kawasan perkuburan Jalan Lumba Kuda, di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira 12.40 tengah hari dilaporkan melibatkan dua lelaki yang mengalami kecederaan di lokasi berkenaan. Pasukan siasatan bersama forensik yang tiba di tempat kejadian mendapati seorang lelaki berusia 67 tahun terbaring di atas tanah dengan kesan kecederaan pada badan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Seorang lagi lelaki berusia 34 tahun turut mengalami kecederaan dan telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, ASP Sylvarius Gopog di talian 013-8637241 atau Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233, atau mana-mana balai polis berhampiran.