


ENGKILILI: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) seorang lelaki warga tempatan berusia 60 tahun yang dilaporkan hilang di kawasan Merio Tambak Kara, Engkilili sejak malam Sabtu lalu, kini memasuki hari ketiga namun mangsa masih belum ditemui.
Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Lubok Antu, operasi yang bermula seawal pagi tadi melibatkan kekuatan keseluruhan melebihi 40 anggota daripada pelbagai agensi dan penduduk setempat.
Operasi ini diselaraskan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama erat daripada APM Daerah Lubok Antu dan APM Sri Aman, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk bantuan Unit K9: Pasukan Bomba Sukarelawan Engkilili dan 50 penduduk kampung.
APM Lubok Antu memaklumkan bahawa selepas sesi taklimat dan pembahagian kumpulan dilakukan, pasukan penyelamat telah menetapkan radius pencarian sehingga lima kilometer.
”Fokus pencarian hari ini merangkumi kawasan berhampiran rumah panjang serta pemantauan rapi di sekitar laluan sungai bagi mengesan sebarang petunjuk keberadaan mangsa,” jelas kenyataan tersebut.
Setakat laporan ini dikeluarkan, mangsa masih gagal dikesan. Bagaimanapun, keadaan di lapangan dilaporkan terkawal dan operasi pencarian akan diteruskan secara berperingkat mengikut perkembangan cuaca dan situasi semasa.
Pihak berkuasa meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan agar segera tampil membantu.
Sebarang kecemasan boleh dilaporkan terus dengan menghubungi APM Lubok Antu ditalian 083-584639 atau Talian Kecemasan 999.
Oleh Adi Safarman