
SIMANGGANG: Polis memohon bantuan orang ramai bagi mengesan seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas kenderaannya ditemui di tepi Sungai Batang Lupar berhampiran Jalan Skait, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Bunyam berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman telah menerima satu laporan berhubung kejadian Orang Hilang (OH) pada kira-kira 2.33 petang tadi.
Menurut beliau, mangsa dikenali sebagai Celsus Khaw Choon Seng, lelaki berumur 63 tahun, berbangsa Cina dan beralamat di Batu Kawa, Kuching.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai keluar seorang diri dari rumah sekitar 4.00 petang semalam menghala ke Sri Aman menaiki kenderaan Perodua Alza berwarna putih atas urusan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, waris keluarga telah cuba menghubungi mangsa, namun sehingga laporan polis dibuat, mangsa masih belum dapat dikesan.
Superintenden Dennis memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan dan diketuai oleh PDRM dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sri Aman susulan penemuan kenderaan milik mangsa di tepi Sungai Batang Lupar, Jalan Skait.
Katanya, ketika hilang, mangsa dipercayai memakai baju T berlengan pendek (warna tidak pasti), seluar panjang berwarna gelap serta berselipar jenama Brook.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Leonard Mallaca di talian 019-750 9390 atau Bilik Gerakan IPD Sri Aman di 083-322035.
Oleh Adi Safarman